![]() |
| Gambar: FB KPKT |
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan komitmennya untuk terus menghormati kebebasan media serta menghargai peranan penting pengamal media dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat.
KPKT dalam kenyataannya kelmarin berkata, di bawah pimpinan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, kementerian itu sentiasa menjunjung prinsip keterbukaan serta mengiktiraf sumbangan media dalam memaklumkan dasar dan inisiatif kerajaan kepada masyarakat.
“Kementerian ini sentiasa menghormati kebebasan media serta menghargai peranan penting media dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.
KPKT menjelaskan, sidang media yang diadakan baru-baru ini bagi pelancaran Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestarian Bandar sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 atau “I LITE U” bertujuan memperkukuh usaha promosi pelancongan negara, selain menarik perhatian pelancong antarabangsa terhadap keunikan dan daya tarikan ikonik di ibu negara.
Menurut kenyataan itu lagi, sidang media berkenaan turut menjunjung martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan apabila keseluruhan majlis dijalankan dalam bahasa tersebut, termasuk ucapan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“KPKT amat menghargai sumbangan media tempatan dan antarabangsa melalui liputan yang diberikan serta menghormati kebebasan wartawan untuk mengemukakan pertanyaan sepanjang sidang media,” jelas kenyataan itu.
Bagaimanapun, KPKT menegaskan bahawa pihak yang menjawab soalan juga wajar diberi ruang untuk memberi respons kepada setiap persoalan yang diajukan.
“Teguran secara berhemah bagi memastikan ketepatan fakta dan kefahaman bersama juga adalah kaedah kebersamaan demi mencapai objektif program serta dasar kerajaan,” katanya.
BACA LAGI
0 Ulasan