Tukar Azalina dengan Reezal Merican sebagai Ketua Penerangan - UMNO Cawangan SS9A


UMNO Cawangan SS9A, Bahagian Damansara dalam mesyuarat hari ini membentangkan usul agar Ketua Penerangan parti yang baharu dilantik untuk menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Usul tersebut dicadangkan oleh Ketuanya, Amin Shukor yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Damansara.

Pada masa yang sama, UMNO Cawangan SS9A mencadangkan agar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dilantik bagi menggantikan Azalina.

Berikut adalah teks penuh usul yang dibaca oleh Amin:

Mendepani situasi semasa politik tanahair bukan satu perkara mudah bagi mana-mana parti politik termasuklah bagi parti UMNO sendiri.

Inisiatif, usaha mahupun geraktindak aktiviti perlulah direncanakan agar lebih menjurus kepada keberuntungan yang berpihak kepada parti UMNO. 

Segala macam usaha atau penambahbaikan itu perlulah bersifat realistik, malahan gerak tindak itu perlu dilakukan sesegera mungkin agar usaha ini mampu menyumbang kepada keberhasilan yang terbaik untuk UMNO dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Oleh yang demikian UMNO Cawangan SS9A Bahagian Damansara ingin mengusulkan satu perkara ekoran mutakhir ini akar umbi UMNO sebahagian besarnya dilihat kurang pendedahan serta kurang penerangan
secara dalaman khususnya dari unit atau pasukan yang sepatutnya fokus bertindak proaktif bagi usaha-usaha sebegini.

UMNO Cawangan SS9A, Damansara mengusulkan satu pertukaran atau rombakan bagi jawatan Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang disandang oleh YB Dato’ Sri Azalina Bte Dato’ Othman Said.

Sebagai seorang menteri dan kepimpinan yang berjasa sekian lama, UMNO Cawangan SS9A beranggapan yang beliau tidak fokus kepada tugas Ketua Penerangan parti yang seharusnya sekarang ini perlu lebih proaktif. 

Akar umbi UMNO keseluruhannya memerlukan satu perlaksanaan strategi serta gerak kerja hala tuju drastik yang lebih jelas agar setiap tindakan akar umbi itu tidak tersasar.

Sebagai seorang menteri kami yakin beliau cukup ‘perform’ dan ini jelas menguntungkan UMNO. 



Oleh sebab itu, kita memerlukan seorang individu atau figura yang mungkin boleh lebih fokus untuk bertindak sebagai Ketua Penerangan dan ‘ada masa’ untuk merencana usaha-usaha serta tindakan yang sifatnya tidak bermusim.

Satu pelan naratif masa depan UMNO yang lebih praktikal perlu segera digerakkan oleh Ketua Penerangan serta segala usaha perlu digembleng kepada usaha yang bersangkutan portfolio penerangan ini.

Sehubungan dengan usul ini, UMNO Cawangan SS9A juga membuat pertimbangan dan ingin mengusulkan individu atau pemimpin yang mungkin dilihat mampu menggalas tugas Ketua Penerangan ini bagi pertimbangan kepimpinan tertinggi UMNO.

UMNO Cawangan SS9A juga ingin mengusulkan untuk kepimpinan parti mmempertimbangkan YB Dato’ Seri Reezal Merican bin Naina Merican bagi menggalas seterusnya portfolio sebagai Ketua Penerangan ini. 

Melalui kemahiran, pengetahuan serta pengalaman dimiliki beliau ia dilihat satu kelebihan yang boleh diguna pakai untuk kebaikan UMNO.

Selain dari itu juga UMNO Cawangan SS9A juga beranggapan beliau ‘ada masa’ untuk lebih fokus merencana, bergerak dan bertindak sebagai Ketua Penerangan yang baharu.

Setiap cadangan, usul serta saranan ini adalah melalui pertimbangan yang rasional dan demi kebaikan parti UMNO yang kita sayangi. 

UMNO Cawangan SS9A Mohon mencadang.

Catat Ulasan

0 Ulasan