Kesepakatan kerajaan dan pembangkang bukti rasionalisasi subsidi adalah tepat


Kesepakatan pembangkang dalam dasar rasionalisasi subsidi diesel yang diumumkan oleh kerajaan adalah bukti bahawa kerajaan mengambil langkah berani dan tepat demi memastikan keadilan ekonomi untuk rakyat Malaysia terbanyak.

Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda berkata, dalam menghadapi cabaran ekonomi global dan domestik, adalah penting untuk memastikan bahawa setiap sen yang dibelanjakan oleh kerajaan digunakan dengan sebaik-baiknya demi manfaat rakyat. 

Menurut beliau, rasionalisasi subsidi diesel adalah salah satu cara untuk memastikan bahawa bantuan kewangan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, dan pada masa yang sama mengelakkan pembaziran serta penyalahgunaan sumber negara. 

"Sebagai contoh, pada tahun 2023 sahaja, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM13 bilion untuk subsidi diesel, namun lebih 30 peratus daripada subsidi tersebut didapati disalahgunakan oleh pihak yang tidak layak. 

"Dengan rasionalisasi ini, kerajaan dijangka dapat menjimatkan sehingga RM4 bilion setahun, yang boleh disalurkan kepada program pembangunan lain yang lebih bermanfaat kepada rakyat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.




Hasbie menambah, kenyataan rasmi PAS yang turut menyokong rasionalisasi subsidi diesel ini merupakan bukti bahawa kerajaan berada di landasan yang betul. 

Beliau memberitahu, apa yang dilakukan hari ini adalah pendirian kerajaan sejak era Datuk Seri Najib Razak dan ia bersesuaian dengan konteks hari ini. 

"Apabila kedua-dua pihak, Kerajaan dan Pembangkang, bersetuju dan seia sekata dalam sesuatu dasar, ia menunjukkan bahawa dasar tersebut adalah bertepatan dengan keperluan dan kepentingan negara," jelasnya.

Hasbie berkata, pihaknya juga ingin menegaskan bahawa sebarang langkah yang diambil oleh kerajaan haruslah telus dan bertanggungjawab, serta sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat sebagai keutamaan utama. 

"Hanya dengan cara ini, kita dapat membina negara yang adil dan makmur untuk semua," ujarnya.

Catat Ulasan

0 Ulasan