Lee Chean Chung kesal dilabel kafir tak wajar sentuh daging korban


Berikut adalah kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dalam hantaran Facebook semalam:

Belajar menghormati satu sama lain, jangan buat fitnah kerana perbezaan politik.

Sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya saya telah biasakan diri susun jadual hadir program dari pelbagai pihak tanpa kira agama dan bangsa. Yang penting dapat menyantuni dan merasai suasana raya  penduduk PJ.


Semalam Hari Raya Aidiladha saya hadir 9 program Rewang Korban di kawasan PJ , termasuk kawasan yang menerima sumbangan lembu dari Pejabat Ahli Parlimen Petaling Jaya dan 1 majlis sambutan Eid Al-Adha.

Oleh kerana sikap rasis sesetengah pihak, saya dilabel kafir tidak wajar sentuh daging korban, disifat sebagai Cina yang pandai berlakon, hadir program demi menarik penduduk kawasan Islam.


Bukan senang jadi wakil rakyat di zaman media sosial yang berleluasa diguna, apabila saya hadir program komuniti Cina, dikatakan hanya jaga gang sendiri.

Hadir program kaum India pula jadi isu pinggirkan pengundi Melayu Islam,turun ke program penduduk Melayu timbul isu kafir dan berlakon.

Malaysia negara yang berbilang kaum dan agama, kalau orang yang betul-betul mengikut apa yang saya kemaskini di media sosial, saya santuni semua pihak, dan semua program yang hadir ada gambar / video.

Saya ada matlamat yang sama dengan majoriti rakyat Malaysia, kita nak lebih fahami agama dan budaya rakan-rakan kita.



Contoh dałam 10 program Hari Raya Aidiladha saya komunikasi dengan Ustaz, peserta, Pengerusi Majlis/Surau, wakil penduduk dan golongan wanita dan anak muda. Mereka cerita erti Aidiladha dan semangat gotong royong yang mengeratkan hubungan penduduk setempat.

Saya diajar cara yang betul untuk melapah daging korban, mengagihkan daging dan menerima sumbangan daging korban. Setiap proses ini saya menerima pengetahuan baru dan lebih memahami makna dan semangat Hari Raya Aidiladha.

Di hari yang mulia ini mari kita semua bersihkan hati dan sucikan pemikiran.

Mari kita semua hayati pengorbanan pemimpin terdahulu dalam membina negara yang stabil untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit mahupun agama.

#malaysia #aidiladha #politik #korban

Catat Ulasan

0 Ulasan