UMNO mesti namakan calon pilihan raya lebih awal - Veteran UMNO


Veteran UMNO menyokong cadangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani supaya pucuk pimpinan parti mengenal pasti bakal-bakal calon yang akan bertanding dalam PRU16 terlebih awal. 

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ia bagi membolehkan mereka turun padang untuk memperkenalkan diri mereka di kawasan yang telah dikenal pasti untuk mereka bertanding. 

Menurut beliau, berdasarkan pengalaman lalu, calon hanya akan dinamakan setelah dewan undangan negeri atau Parlimen dibubarkan. 

"Ini akan menimbulkan masalah seperti sabotaj dalam kalangan mereka yang tidak terpilih yang berkesudahan dengan kekalahan. 

"Sekiranya calon itu dikenal pasti lebih awal maka unsur sabotaj itu dapat diatasi atau dikurangkan kerana mereka mempunyai masa yang lama untuk memujuk mereka yang tidak dipilih bertanding," katanya dalam kenyataan media, hari ini.




Mustapha menambah, Veteran UMNO juga bersetuju dengan saranan Johari supaya lebih ramai orang muda diberi peluang untuk bertanding dalam PRU16. 

Dalam hal ini,  beliau berkata, Veteran UMNO berharap orang lama mesti memberi laluan mudah kepada mereka. 

"Orang lama juga sewajarnya mengenal pasti bakal-bakal calon itu dari kalangan tokoh muda di bahagian masing-masing secara profesional tanpa terikat dengan kroni dan keluarga," ujarnya.

Kata Mustapha, UMNO mesti keluar dari cara lama kalau mahu parti itu terus relevan. 

Tegas beliau, UMNO mesti menyesuaikan dengan kehendak orang muda yang menjadi pengundi majoriti sekarang. 

"UMNO mesti mengikut cita rasa mereka yang mahukan perubahan. 

"UMNO mesti berani berubah walaupun sukar untuk diterima oleh segelintir mereka yang merasakan merekalah 'warlord' yang boleh menentukan segala-galanya dalam parti," katanya.

Mustapha memberitahu, UMNO mesti menyediakan golongan pemimpin pelapis seawal mungkin melalui cara mengenal pasti bakal-bakal calon yang akan bertanding ini. 

"Hanya dengan cara ini UMNO tidak akan hilang tokoh sehingga menggagau di saat akhir," jelasnya. - TUKANG TULIS

Catat Ulasan

0 Ulasan