Alasan timbalan menteri hadir program tajaan syarikat arak tak masuk akal - PAS

Dewan Ulama PAS kesal dengan alasan tidak masuk akal seorang timbalan menteri di bawah Kerajaan Madani mengenai status kehadirannya ke program tajaan minuman beralkohol kepada sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) baru-baru ini. 

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pertikaian yang timbul adalah terhadap penajaan institusi pendidikan yang melanggar pekeliling kementerian sendiri.

Bahkan, menurut beliau, kehadiran timbalan menteri berkenaan dalam majlis tersebut turut menimbulkan persoalan panjang.

"Situasi ini menggambarkan ketidakkompeten barisan menteri pada hari ini untuk menyandang tanggungjawab menjaga institusi pendidikan negara. 

"Alasan tidak sengaja mahupun tidak mempunyai pengetahuan mengenai tajaan itu sangat tidak masuk akal," katanya dalam kenyataan media, hari ini. 

Ahmad menambah, Dewan Ulama PAS menyelar perkara tersebut dan menyifatkan ia menambah barah dalam kekusutan pentadbiran Kerajaan Madani yang semakin hilang pertimbangan. 

"Persoalannya, bagaimana Kementerian akan menunjukkan ketegasannya dalam hal ini? 

"Jelas isu ini hanyalah menambah senarai kegagalan pentadbiran negara di bawah Kerajaan Madani," jelasnya.




Catat Ulasan

0 Ulasan