Calon Perpaduan PH-BN berpeluang menang PRK Sungai Bakap - Kajian IDE

 

Gambar: Facebook Joohari Ariffin

Rakyat DUN Sungai Bakap, bakal akan turun mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 DUN Sungai Bakap yang dijadualkan pada Sabtu, 6 Julai 2024. PRK ini dilangsungkan berikutan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya Allahyarham YB Encik Nor Zamri bin Latiff meninggal dunia pada 24 Mei 2024. Allahyarham berusia 56 tahun merupakan wakil rakyat di DUN Sungai Bakap setelah dipilih pada PRU15 (DUN) yang lalu telah memenangi pilihan raya DUN ketika itu dengan majoriti 1,563 undi.

Berdasarkan Survei Landskap Persepsi Rakyat Menjelang PRK DUN Sungai Bakap yang dijalankan oleh IDE dari 19 – 23 Jun 2024 dan pemantauan lapangan yang dijalankan, gabungan Perpaduan (PH/BN) didapati berpeluang untuk menang dalam dalam PRK Dun Sungai Bakap apabila sokongan menjelang pengundian didapati Pakatan Harapan mendahului dengan 53.2% berbanding 43.0% kepada Perikatan Nasional. Kedudukan sokongan ini boleh kekal jika beberapa prasyarat dipenuhi.


Survei ini dilaksanakan berdasarkan kepada cerapan data parti yang disokong oleh responden. Menang atau kalau dalam PRK adalah bergantung kepada parti yang bakal diundi oleh pengundi kelak. Dalam senario ini PH berpeluang menang dalam PRK Dun Sungai Bakap jika memenuhi beberapa pra-syarat iaitu:

a) Berjaya menarik sokongan 36% undi Melayu. Berdasarkan kepada sokongan semasa dengan momentum kepada PH, maka gabungan Perpaduan (PH/BN) mampu menang dalam PRK kali ini apabila undi UMNO dilihat kembali mengukuhkan kepada gabungan Perpaduan.

b) Senario mampu diraih dengan tambahan beberapa situasi faktor yang membantu jika PH berjaya meyakinkan pengundi India khususnya di kawasan daerah mengundi iaitu DM: Sg. Bakap(20%) / Puteri Gunong (26%)/ Ladang Sempah (25%). Hal ini juga turut diperkukuhkan jika pengundi Cina kekal dengan jumlah maksimum keluar mengundi.




ANAK MUDA SEBAGAI PENENTU POLA PENGUNDIAN



IDE juga mendapati sokongan anak muda kini berada di tahap seimbang antara Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional berbanding dengan undi yang diperolehi ketika PRU 15 Parlimen dan DUN. Untuk zon anak muda, pada pilihan raya lalu PN menguasai Daerah Mengundi (DM) Melayu berbanding DM Campuran yang dikuasai oleh PH.




Survei IDE mendapati responden lokal, berada dalam keadaan seimbang antara PH dan PN. Jika PH mampu untuk menarik 11% pengundi atas pagar anak muda kepada PH maka ini akan memberikan penambahan untuk menang dalam PRK Sungai Bakap. Namun, jika berlaku sebaliknya, boleh mengubah kemenangan kepada PN. Hampir 53.8 % pengundi DUN Sungai Bakap adalah dikalangan anak muda.

Justeru faktor undi anak muda dilihat sebagai pencetus utama penentuan pola pengundian yang kini cuba disantuni oleh kedua-dua calon dan parti politik yang bertanding. Masing-masing giat menjalankan program untuk anak muda dan menyantuni mereka. Bagi pengundi muda khususnya yang berumur 18-24 tahun, Survei IDE menunjukkan golongan ini cenderung untuk mengundi berdasarkan pengaruh ibu bapa dan rakan sebaya. Sumber maklumat mereka adalah berdasarkan kepada media sosial seperti TikTok.




KETERUJAAN TURUN MENGUNDI PRK DUN SUNGAI BAKAP

Survei IDE mendapati bahawa 87.3% responden lokal memilih untuk keluar mengundi pada hari pengundian 6 Julai 2024. Keterujaan ini tidak termasuk pengundi DUN Sg Bakap yang tinggal di luar kawasan Sungai Bakap.





Sekitar 64.1% responden menyatakan terdapat ahli keluarga pengundi berdaftar yang tinggal di luar kawasan DUN Sungai Bakap daripada 1 hingga 4 orang ahli keluarga. Jika melihat kepada trend peratusan turun mengundi PRU 15 Parlimen dan DUN, kebiasaannya akan menurun 10%.


Menjadi trend pengundian dalam pelbagai siri pilihan raya memperlihatkan peratusan turun mengundi bagi pilihan raya kecil adalah kurang dari sentimen Pilihan Raya Umum.

Kebiasaannya wujud perbezaan antara PRU, PRN dan PRN sekitar 10%. Oleh yang demikian dijangka peratusan turun mengundi keseluruhan sekitar 60% - 70% kesan perbandingan antara pengundi lokal dan pengundi luar yang masih berkira-kira untuk balik mengundi.





POTENSI CALON MEMPUNYAI KELEBIHAN TERSENDIRI

Kedua-dua calon, iaitu Cikgu Joohari Ariffin dan Abang Abidin Ismail mempunyai kekuatan tersendiri. Cikgu Joohari Ariffin mempunyai kelebihan dari sudut pendidikan khususnya beliau mempunyai latar pendidikan Universiti hingga ke PHD. Beliau juga seorang pendidik sebagai bekas guru. Pencalonan
beliau dalam konteks parti dilihat oleh responden sebagai tiada sebarang masalah.

Bagi Abg Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional merupakan seorang ahli politik lokal yang telah terlibat lama dalam politik khususnya bersama dengan arwah mantan Adun sebelum ini. Beliau juga dianggap responden sebagai berpengetahuan agama kerana mewakili Parti Pas dalam gabungan PN
walaupun beliau bukan dari aliran pendidikan agama.

Faktor ANAK TEMPATAN dan CALON MESRA RAKYAT bagi kedua calon mempunyai kekuatan yang sama kuat antara keduanya bagi persepsi kebanyakan pengundi.






SOKONGAN TERHADAP YAB PERDANA MENTERI – 63.9%


63.9% responden memberikan reaksi menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Beliau dilihat tinggi dari sudut pemimpin yang memperjuangkan nasib rakyat Palestine dan pemimpin yang dikenali diperingkat antarabangsa. DSAI juga dilihat sebagai pemimpin yang mampu menyatupadukan kepelbagaian kaum di Malaysia.





POSITIF TERHADAP AHLI PARLIMEN NIBONG TEBAL


Tahap kepuasan pengundi bagi ahli Parlimen Nibong Tebal dilihat positif khususnya kepada beberapa isu utama, melebihi 65% iaitu:

a) Membangun kemudahan infrastruktur;

b) Membantu masyarakat dari sudut bantuan dan sumbangan;

c) Menggerakkan program bersama masyarakat.

Walaupun demikian, masyarakat mengharapkan komitmen YBM untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah infrastruktur seperti jalan raya, lampu jalan dan masalah air. Masalah tekanan air banyak dibangkitkan oleh pengundi di Sungai Bakap yang mengharapkan penyelesaian segera daripada pihak kerajaan. Pengundi mengharapkan ADUN yang bakal menang kelak mampu untuk memperjuangkan isu lokal demi kesejahteraan masa depan rakyat. Komitmen Kerajaan Pusat dan Negeri mencadangkan beberapa penyelesaian segera dilihat positif oleh pengundi.




-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


KAJIAN LANDSKAP PERSEPSI RAKYAT MENJELANG PRK DUN SUNGAI BAKAP

Informasi Kajian:

Kajian melibatkan 12 orang enumerator yang terdiri pelajar UPM, UITM, USIM, UKM, dan UNISEL. Pensampelan rawak berstrata berdasarkan Daftar Pemilih Induk 2024 (DPI) DUN SUNGAI BAKAP mengikut DUN, KAUM, & UMUR dengan jumlah responden seramai 786 orang. Kajian dilakukan secara bersemuka dengan melibatkan kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain mengikut daerah mengundi. Pelbagai struktur soalan dan instrumen telah dikemukakan kepada responden.

Pemilihan responden dipilih secara rawak dengan soalan kaji selidik berstruktur menggunakan inovasi apps IDE e Survei dan tablet. Kajian lapangan ini melibatkan 8 Daerah Mengundi di Dun Sungai Bakap. Kajian dijalankan selama empat hari pada 19 – 22 Jun 2024 (Rabu - Sabtu) sehingga hari penamaan calon. Survei bermula dengan Bengkel Enumerator yang bertempat di Auditorium IDE, Shah Alam bagi melatih dan memberi pendedahan kepada enumerator berkaitan kajian lapangan. Kajian lapangan ini diselia oleh (6) orang penyelia dan melibatkan 3 kumpulan enumerator. Ralat kesilapan 3.43% pada 95% tahap keyakinan. Kajian Survei Pilihan Raya Kecil DUN SUNGAI BAKAP merupakan kajian yang ke-106 dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) melibatkan temubual secara bersemuka dengan jumlah kumulatif seramai 222,690 orang responden.

Pembentangan Survei dibuat dalam Sidang Media IDE bertarikh 3 Julai 2024 oleh Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Pengerusi Eksekutif IDE. Rakaman siaran boleh dilayari di saluran website, facebook dan youtube IDE: (https://www.youtube.com/live/2XLQddM444Q).

Bagi tujuan pertanyaan sila hubungi En Khairul Arifin Mohd Munir, Pengurus Kanan Penyelidikan IDE, 0193178669, ide@ideselangor.com.


UNIT PENYELIDIKAN IDE

Institut Darul Ehsan (IDE) @ IDE Research Centre


Catat Ulasan

0 Ulasan