Papan iklan tumbang: SPRM mesti siasat jika ada unsur rasuah


SPRM digesa menyiasat sama ada terdapat unsur rasuah dalam isu papan iklan gergasi tanpa lesen yang tumbang akibat ribut di Bandar Melaka pada 14 Julai lalu.

Pengerusi PN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, dalang yang terbabit perlu dikesan agar perkara yang sama tidak berulang.

Menurut beliau, pada 15 Julai lalu, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yassin telah membuat kenyataan media memaklumkan dua papan iklan besar berkenaan tidak mempunyai lesen.

​"Tidak sewajarnya membiarkan isu papan iklan haram berlaku, lebih-lebih lagi papan iklan yang tumbang baru-baru ini terletak di jalan utama.

"Pengurusan Hak Eksklusif Pengiklanan Seluruh Negeri Melaka telah diserahkan kepada Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dari Melaka Kini Sdn Bhd pada 15 Januari 2020.

"Adalah menjadi tanggungjawab CMI untuk memastikan semua papan iklan yang didirikan mematuhi SOP dan spesifikasi yang telah digariskan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Yadzil berkata, kenyataan Rais itu menimbulkan pelbagai pertanyaan.

"Bagaimana papan iklan yang besar dibina tanpa pengetahuan dan lesen oleh PBT?

"Bagaimana pula dengan CMI selaku Pengurusan Hak Eksklusif Pengiklanan Seluruh Negeri Melaka?

"Siapakah pemilik papan iklan gergasi yang roboh tempoh hari? Apakah tindakan yang telah diambil?

"Berapa banyak lagi papan iklan yang tidak berlesen dibiarkan dibina di Melaka?

"Apakah tindakan pihak kerajaan untuk mengelakkan pembinaan papan iklan haram?" soalnya.

Beliau berkata, setiap papan iklan perlu dibina mengikut SOP dan syarat yang ditetapkan serta menepati ciri-ciri keselamatan agar dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

"Kerajaan negeri Melaka tidak boleh mengambil sikap lepas tangan dalam kemalangan yang berlaku," katanya.






Catat Ulasan

0 Ulasan