PKR sangkal kenyataan Abang Jo PH tak wujud di Sarawak


PKR Sarawak mempersoalkan kenyataan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg bahawa PH tidak wujud di Sarawak.

Ketua Penerangan PKR Sarawak, Tay Wei Wei berkata, kenyataan Pengerusi GPS itu kurang tepat kerana PH yang diwakili PKR dan DAP mempunyai wakil rakyat di Parlimen dan DUN Sarawak.

"Sejarah juga pernah membuktikan PH Sarawak pernah memenangi banyak kerusi Parlimen dan DUN.

"PKR Sarawak sentiasa berhati-hati untuk menjaga hubungan baik antara parti dalam Kerajaan Perpaduan, namun itu tidak bermaksud kita sanggup menerima ejekan atau penghinaan dari parti lain terhadap 'parti Perdana Menteri'," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Baru-baru ini, Abang Johari dalam podcast Keluar Sekejap secara berseloroh mendakwa DAP dan PKR ‘tidak wujud’ di Sarawak lantaran dominasi GPS.

Beliau juga menyatakan GPS akan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN pada PRN Sarawak nanti sekali gus membayangkan kesediaan untuk bertembung dengan PH yang kini hanya menyandang dua kerusi.

Berhubung kenyataan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng bahawa adalah lebih baik PH Sarawak menyertai GPS, Wei Wei berkata, PKR berpendapat adalah lebih baik Larry fokus kepada partinya iaitu PBM yang menang hanya satu kerusi Parlimen sahaja.

Beliau mengingatkan Larry supaya tidak perlu sibuk dengan urusan PH Sarawak, terutamanya PKR Sarawak kerana beliau bukan lagi Pengerusi PKR Sarawak.

"PKR Sarawak bukan parti yang menyokong 'politik katak'. 

"Tidak perlu membuat publisiti murahan dengan cuba melaga-lagakan GPS dengan PH Sarawak," jelasnya.



Catat Ulasan

0 Ulasan