Setelah teruk dikecam, MOM umum pakaian rasmi baharu kontinjen Olimpik negara

Susulan maklum balas yang bercampòur baur terhadap reka bentuk dan motif Harimau yang dilihat tidak menyerlah, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memilih corak belang Harimau yang lebih garang dipaparkan pada pakaian rasmi untuk Kontinjen Malaysia ke Paris 2024.

Reka corak baharu yang dipilih adalah berlatarbelakangkan warna hitam, dengan belang Harimau berwarna kuning yang lebih jelas dan besar di sebelah hadapan dan di belakang jaket.

Logo MOM dengan kibaran Jalur Gemilang kembali dilakar mengikut warna-warna Jalur Gemilang diiringi lima Gegelung Olimpik, berbanding logo MOM berwarna emas yang dipaparkan pada corak terdahulu.

MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti Kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005.

Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di kota Paris nanti.

Seramai 26 atlet yang mewakili negara perlu mempamerkan semangat juang tinggi dan kental bersesuaian dengan ciri-ciri dan motif belang Harimau yang ditonjolkan.

Sebagai badan yang mengelolakan Kontinjen Malaysia di semua Temasya Pelbagai Sukan antarabangsa, MOM berharap corak dan motif lebih terang ini bukan sahaja menonjolkan identiti dan keseragaman kontinjen tetapi lebih penting melambangkan keperkasaan, ketangkasan dan keberanian untuk berjuang atas nama negara.




Untuk kemeja T berkolar berwarna emas, MOM mengekalkan corak dan motif yang sama tetapi dengan lakaran logo MOM yang berlambangkan warna-warna Jalur Gemilang sebagai tanda menghormati bendera negara.

Disebabkan faktor masa, MOM mendapat kebenaran daripada pihak penaja Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan di kedua-dua jaket dan kemeja T.

Ini adalah kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan perjanjian di antara Yonex dan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu.

Maka itu Yonex Sunrise Malaysia memberi keizinan khas kepada MOM untuk mencetak dan mengeluarkan jaket ini dengan fabrik pengilang berbeza sebagai pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 disebabkan faktor masa.

Sehubungan itu, MOM mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Yonex Sunrise Malaysia yang sudah 10 tahun menjadi penaja pakaian rasmi Kontinjen Malaysia, atas kesediaan mereka membenarkan penghasilan pakaian rasmi baharu menggunakan fabrik dan reka corak berbeza.

MOM juga amat menghargai kesudian Menteri Belia dan Sukan, Y.B. Hannah Yeoh, yang menghormati kedudukan MOM sebagai badan payung Persatuan Sukan Kebangsaan yang bebas dan diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebagai Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) sejak 1954.

Dengan keputusan ini, MOM mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia menghulurkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada semua anggota Kontinjen Malaysia di Temasya Sukan Olimpik Paris 2024, mulai 26 Julai hingga 11 Ogos nanti.

TAN SRI DATO’ SRI (DR.) MOHAMAD NORZA ZAKARIA
Presiden

2 Julai 2024

Catat Ulasan

0 Ulasan