Wanita dalam video lawatan kuil bukan kakitangan JAIPk


Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) menjelaskan, wanita dalam video lawatan kursus di sebuah kuil yang tular bukan kakitangannya.

Sebaliknya, kata JAIPk, wanita terbabit ialah salah seorang peserta yang mengikuti kursus berkenaan secara sukarela.

JAIPk juga amat kesal dengan polemik yang timbul berikutan penyebaran klip video mengenai satu program lawatan di sebuah rumah ibadat bukan Islam di ibu negara pada 30 Julai lalu.

"Video berkenaan adalah berkaitan lawatan yang diadakan secara tertutup dan dikendalikan oleh Global Unity Network (UNITY) dengan kerjasama JAIPk melibatkan 32 peserta terpilih dari seluruh Perak.

"Kesemua peserta terlibat sedang mengikuti lima kursus dakwah di bawah JAIPk yang bertujuan meningkatkan kefahaman mereka mengenai hal ehwal aktiviti dakwah, manakala lawatan berkenaan adalah salah satu modul dalam kursus tersebut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut JAIPk, lawatan itu adalah sebahagian daripada pengisian kursus untuk melatih dan meningkatkan keyakinan para peserta dalam menyampaikan dakwah terutamanya bagi membetulkan banyak salah faham mengenai Islam termasuk kebencian akibat sentimen Islamofobia.

Bagaimanapun, katanya, lawatan berkenaan bertukar menjadi polemik apabila sebuah akhbar menyiarkan klip video kenyataan salah seorang peserta wanita yang telah menimbulkan salah faham sehingga mengundang perdebatan hangat dalam media sosial.

"Bagaimanapun, jabatan ini memohon maaf kepada semua pihak terutamanya umat Islam atas kontroversi yang timbul susulan penganjuran kursus serta kenyataan peserta berkenaan sehingga menimbulkan salah faham selain menjejaskan nama baik Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa agama.

"Sebagai antara jabatan yang diberi amanah mengurus hal ehwal dan kepentingan agama lslam, JAIPk tidak sesekali mengendurkan pegangan terhadap prinsip-prinsip magasid syariah yang selama ini mendasari perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri Perak," jelasnya.

JAIPk turut mengambil maklum mengenai arahan dan beberapa ketetapan yang dibuat Kerajaan Negeri Perak setelah mendapat titah nasihat oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya isu tersebut ditangani segera bagi mengelakkan ia terus menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

Katanya, bagi mencegah kontroversi seumpamanya berulang, JAIPk akan mengkaji semula modul dan kaedah pelaksanaan kursus berkenaan selain menetapkan garis panduan khusus kepada peserta yang menyertai program dakwah yang dianjurkan jabatan itu pada masa hadapan.

"JAIPk juga akan berbincang dengan para pemegang taruh serta pihak-pihak berkuasa agama lslam yang lain termasuk Jabatan Mufti Negeri Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk memikirkan kaedah atau pendekatan kursus dakwah yang lebih sesuai," katanya.





Catat Ulasan

0 Ulasan