Oleh: DATUK NUR JAZLAN MOHAMED
Saya sudah lama menulis sejak dari awal-awal masuk politik dulu lagi. Memang itu passion saya selain daripada dunia politik. Memang tulisan saya panjang berjela, sampai ada la beberapa kawan tanya saya kenapa saya tulis panjang-panjang macam tesis PhD. Saya jawab senang saja, dalam satu-satu karangan saya yang berjela-jela tu banyak isu dan fakta. Bukan kosong tau! Jadi saya tanya diorang balik...awak baca ke keseluruhan artikel saya? AWAK BACA DAN FAHAM KESELURUHAN ARTIKEL SAYA? ATAU BACA TAJUK ATAU PETIK SEBAHAGIAN YANG KAU SUKA ATAU DUKA SAJA? Sebab tu kata pepatah membaca itu jambatan ilmu; kalau nak tahu baca la dulu.
Saya pun mengaku banyak tulisan saya yang jadi kontroversi dan panas-panas. Ramai yang kecam dan kutuk bila baca tulisan saya. Maknanya orang yang cepat melatah tu dia memang makan cili la. Sebab itu dia pedas, panas dan berpeluh-peluh. Apa yang saya tulis itu adalah realiti dan benar; jadi memang betullah kebenaran itu pahit untuk ditelan. Tapi terima sajalah.
Lepas itu dalam sehari ini ni, Amanah dan PKR; dua parti dalam Pakatan Harapan yang kadangkala lebih sudu dari kuah dalam Kerajaan Perpaduan, terutama bila tiba soal tuntutan jawatan dan kuasa di Johor. Ya, Johor bukan kerajaan negeri yang ditubuhkan atas persefahaman Kerajaan Perpaduan sebab ia berlaku lebih daripada kerjasama BN-PH di peringkat Persekutuan. Jadi Johor tak terikat secara langsung dengan kerjasama itu sama macam Kerajaan Sarawak. Kalau betul PH nak berlaku adil, patutnya minta Bang Non tuntut juga dari Abang Jo supaya buatkan Kerajaan Perpaduan di Sarawak sebab GPS adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan hari ini.
Tapi sejak kebelakangan ini, Kerajaan Negeri Johor dijadikan macam pasar borong oleh parti lain seperti Amanah yang hanya ada 1 kerusi je nak tuntut macam-macam jawatan dari Exco sampailah ketua-ketua kampung. Memang cara politik kekampungan la dibawa oleh Amanah ini. Tak sampai 24 jam lepas UMNO memang di DUN Mahkota, parti serpihan PAS ini nampak sangat gelojoh; duduk ulang lagi nak minta jawatan itu ini sampai desak suruh buat Kerajaan Perpaduan di Johor. YB Amanah di Pulai, si Suhaizan Kayat yang saya bantu sungguh-sungguh sampai dia menang pun sekarang ini busy sangat sampai penutup longkang pun dia rasmikan.
Saya nak cakaplah dengan bagi analogi yang senang nak faham. Dalam konteks permainan poker politik ni, hanya mereka yang benar-benar ada skil, kekuatan dan pengalaman saja yang layak dan mampu bertahan di meja utama. Bagi saya hanya UMNO, DAP dan GPS saja yang boleh diibaratkan sebagai pemain poker profesional yang tahu bila nak “bluff,” bila nak “raise" dan bila nak ambil risiko. Dua parti ini saja pemain sebenar dalam politik Malaysia sejak awal merdeka dulu.
Tapi parti-parti lain macam mana? Biarlah saya cakap terus terang; bukan setakat dalam politik di nasional saja, politik di peringkat politik Johor pun Amanah dan PKR kurang layak duduk semeja main poker politik ni. Mereka hanya sesuai duduk depan mesin kuda atau main roulette saja, sebab mereka mengharapkan nasib baik dan kekalahan lawan sahaja dan bukan kekuatan jentera parti atau strategi.
Kita tengoklah sendiri, setiap kali ada peluang, Amanah dan PKR datang dengan harapan besar nak tuntut lebih kerusi, nak banyak jawatan macamlah mereka tu parti dominan. Realitinya, mereka ini hanya passengers yang nak rebut seat dalam kapal terbang yang dikemudi dua pilot iaitu UMNO dan DAP. Kadang-kadang tuntutan mereka buat saya tergelak, seolah-olah lupa siapa sebenarnya pemain utama dalam Kerajaan Perpaduan ini.
UMNO-BN walaupun ada kurang satu kerusi (30) berbanding PKR (31) tapi masih lagi parti yang berpengaruh. Dengan gabungan yang mereka ada bersama DAP, UMNO kekal penting dalam lanskap politik negara. DAP pula, jangan diperkecilkan. Walaupun sering dikritik kerana ideologi mereka, DAP tetap mempunyai sokongan kuat, terutama di kawasan bandar dan kalangan bukan Melayu. Dua parti ini bukan saja ada pengaruh, tetapi juga skil dan pengalaman politik yang tak dimiliki Amanah atau PKR.
Amanah pula dengan hanya 8 kerusi Parlimen tapi nampak gelojohnya tak boleh bawa berbincang macam mereka kuasa besar. Tapi bila bercakap tentang kuasa politik sebenar, bagi saya Amanah hanya jadi penumpang kepada PH atau lebih tepat lagi komrad DAP. Kedua-duanya hanya bergantung kepada tuah untuk terus relevan, macam main roulette atau mesin kuda, berharap bola mendarat di tempat yang betul.
Jadi saya nak berikan nasihat kepada Amanah dan PKR, ingatlah, politik ini bukan sekadar harapkan nasib baik ja tau. Dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO dan DAP adalah pemain utama yang menguasai meja poker sebab kita ada kekuatan ahli, penyokong dan jentera. Jadi Amanah dan PKR kena sedar mereka tak ada kelebihan itu semua, jadi mereka patut tak boleh duduk di meja poker. Lagipun, nasib bukanlah satu strategi yang boleh diharapkan dalam jangka masa panjang. Strategi benci UMNO macam zaman dulu pun tak boleh dipakai sekarang kerana UMNO dah jadi kawan pergantungan.
NOTA TAKUT TERSEPAK KAKI SENDIRI
Mari kita singkap semula kepada punca saya mula bersuara 2 minggu lepas. Semuanya bermula dengan desakan untuk Dr Akmal mohon maaf pada minggu kedua PRK Mahkota. Dan sebaik sahaja lepas UMNO menang besar dan sebenarnya boleh menang lebih besar kalau undi bukan Melayu keluar, timbul lagi desakan untuk kerajaan Perpaduan di Johor. Desakan seperti ini telah membuat ahli UMNO marah tapi rata-rata pendam perasaan
Sejak beberapa minggu ini memang suasana agak panas antara pemimpin UMNO dan PH. DAP, Amanah dan PKR melatah bila kena tegur oleh pemimpin UMNO yang lantang macam saya. Tapi PH kena berlapang dada, teguran yang saya buat adalah demi kebaikan bersama dan bukan sekadar macam orang tua-tua cakap berbasa-basi.
Teguran demi teguran yang saya buat dekat PH bukanlah macam bunyi gendang kosong. Bukan drama politik ya, tapi ada mesej jelas di sebaliknya. Sebagai salah seorang pemimpin dalam UMNO, saya tak mahu nanti kita berdepan dengan PRU16 dalam keadaan yang sama seperti sebelum ini, lebih-lebih lagi dengan PN yang selalu bawa politik retorik dan politik label PAS khususnya DAP dan PKR dengan pelbagai istilah buruk.
Saya cuma nak ingatkan PH kalau mereka betul-betul ikhlas nak bersama UMNO dalam PRU16 nanti, inilah masa untuk bermuhasabah diri. Teguran UMNO adalah untuk kebaikan bersama, bukan untuk menyakitkan hati. Adalah lebih baik kita bersedia sekarang daripada menyesal di kemudian hari?
Jadi jangan salah sangka, teguran saya sebab nak selesai segala dalam kerjasama politik yang ada, sebab saya tak nak nanti bila PRU16 makin dekat dan kita semua gaduh besar pasal masalah kerusi dan kawasan nanti.
Maka sebelum PRU16 datang, saya rasa eloklah perbezaan ini diluruskan lebih awal. Kalau semua parti dalam Kerajaan Perpaduan mahu kekal ‘harmoni’, jangan lupa, kerusi bukan perkara kecil – jangan jadi macam Lebai Malang.
PH perlu mengambil teguran UMNO ini dengan hati terbuka. Jika mereka mahu terus kekal relevan, bekerjasama dengan UMNO adalah jalan terbaik – tetapi kesatuan itu mesti dibina di atas persefahaman dan keikhlasan. Jika PH masih mahu bermain tarik tali dan tidak bersedia berkompromi dalam hal-hal penting seperti pembahagian kerusi dan menjaga pengundi, PRU16 boleh menjadi mimpi ngeri yang berulang.
Saya hanya nak remind, teguran ini bukan untuk menunjukkan siapa lebih hebat, tetapi untuk pastikan Kerajaan Perpaduan ini terus kuat dan menang lagi pada PRU16.
Perpaduan antara parti dalam kerajaan perpaduan ini sebenarnya ada kaitan dengan isu sijil halal. Saya telah menulis bahawa isu halal tu berkisar kepada tahap was-was pengamalnya. Begitu juga dengan UMNO dan PH. Pandangan saya tak sepatutnya dibalas atau diserang kerana ini pandangan individu. Tapi saya nampak sudah timbul perasaan cuak dan was-was sesetengah pihak dalam PH atas kebangkitan semula UMNO ini.
Kebimbangan oleh sesetengah pihak bahawa mereka akan tersisih kalau UMNO kuat semula ini menimbulkan ketegangan urat yang boleh menjejaskan Kerajaan Perpaduan untuk PRU16. Masih ada 3 tahun lagi ke PRU16. Jadi lebih baik ketegangan urat ini dirawat dengan akupunktur lebih awal dan hilangkan segala was-was yang ada sekarang. Jangan tunggu sampai akhir tempoh kerajaan perpaduan ini untuk menghilang kan was-was. Jadi jangan risau, insyallah Kerajaan Perpaduan ini dijamin 'HALAL'.
NOTIS MERAH UNTUK JANDA EXPIRED
*Aikkk, PAS pun nak tumpang semangkok? Tak payah lah, PAS kan janda dah expired. Dah pun dah kawin dengan semua orang...Pas dah bermadu dengan DAP dan PKR dan dah dapat anak tiri Amanah dah pun. Janganlah kacau UMNO nak berbulan madu dengan Kerajaan Perpaduan ni.
Penulis ialah Timbalan Pengerusi UMNO.
0 Ulasan