Gambar: Facebook |
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memang bukan calang-calang orang dalam gelanggang politik Malaysia yang penuh pancaroba dan cabarannya.
Pada PRU14, beliau mencipta nama sebagai giant-killer dengan menumbangkan Tun Mohd Ali Rustam di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya dengan majoriti 8,640 undi.
Sudah tentu kejayaan itu di luar jangkaan kerana Shamsul Iskandar yang mesra dengan gelaran 'Sam' berdepan dengan seorang bekas Ketua Menteri Melaka.
Beliau pasti mampu mengulangi kejayaan serupa pada PRU15, namun terpaksa akur dengan keputusan parti yang menyebabkannya memberi laluan kepada Adam Adli Abd Halim untuk bertanding di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya.
Sekali lagi, Shamsul Iskandar dihadapkan dengan cabaran yang besar menggunung apabila diletakkan untuk bertanding melawan Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kerusi Parlimen Bagan Datuk.
Ramai pemerhati menjangka Shamsul Iskandar yang kini Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri akan kalah besar memandangkan Ahmad Zahid telah bertapak di Bagan Datuk sejak PRU9.
Namun, jangkaan mereka tersasar apabila Ahmad Zahid hanya mampu mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti sangat tipis sebanyak 348 undi.
Mungkin sahaja Shamsul Iskandar dapat mengakhiri kerjaya politik Ahmad Zahid sekiranya kiraan semula dilakukan dan keputusan memihak kepadanya.
Cuma kiraan semula tidak berlaku. Seperti yang dijelaskan oleh Shamsul Iskandar dalam rancangan podsiar Apa Cerita baru-baru ini, beliau akur dengan arahan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Senario politik pasca PRU15 mungkin berbeza andainya Shamsul Iskandar bersikap keras kepala dan mahu kiraan semula undi dilakukan.
Walau bagaimanapun, beliau sekali lagi berjiwa besar apabila mengangkat bendera putih walaupun berhak untuk meminta kiraan semula dilakukan.
Malangnya, ada pihak yang kurang senang dengan kisah benar yang didedahkan oleh Shamsul Iskandar itu sehingga ada yang memperlekehkannya sebagai 'kenyataan bodoh'.
Apa yang disampaikan oleh Shamsul Iskandar adalah fakta dan bukan putar-belit semata-mata untuk mencari populariti murahan.
Sekurang-kurangnya ucapkanlah terima kasih kepada Shamsul Iskandar kerana tanpa pengorbanan beliau, mungkin Kerajaan Perpaduan tidak dapat dibentuk dan Ahmad Zahid tidak dapat kembali menjadi Timbalan Perdana Menteri.
0 Ulasan