Gambar: FB Najib Razak |
Datuk Seri Najib Razak telah meninggalkan jejak yang signifikan dalam pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat sepanjang tempoh beliau menjadi Perdana Menteri mulai 2009 hingga 2018.
Di sebalik pelbagai tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh musuh-musuh politiknya,sumbangan dan jasa beliau kepada rakyat dan negara tidak dapat dinafikan sama sekali.
Najib memperkenalkan beberapa inisiatif ekonomi yang bertujuan untuk merangsang pertumbuhan dan memastikan kemakmuran rakyat.
Antara yang paling terkenal adalah dasar Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mula dilaksanakan pada 2010.
ETP bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Program tersebut menumpukan kepada beberapa sektor utama seperti minyak dan gas, perbankan, dan pelancongan, serta melaksanakan pelbagai projek mega untuk meningkatkan infrastruktur negara.
Selain itu, beliau memperkenalkan konsep 1Malaysia, yang bertujuan memupuk perpaduan nasional dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Melalui inisiatif tersebut, beberapa program kesejahteraan rakyat diperkenalkan, seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1 Malaysia, Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah.
BR1M merupakan salah satu langkah langsung kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu untuk meringankan beban kos hidup rakyat, terutamanya mereka yang menghadapi kesukaran dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Dalam bidang pembangunan infrastruktur, Najib turut memainkan peranan dalam memastikan projek-projek besar seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura.
Projek-projek ini bertujuan meningkatkan mobiliti dan keterhubungan, serta membuka peluang ekonomi baru kepada rakyat Malaysia.
Walau bagaimanapun, projek HSR ditangguhkan pelaksanaannya sebaik sahaja kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad memerintah negara selepas PRU14.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin seterusnya membatalkan projek tersebut.
Selain pembangunan ekonomi dan infrastruktur, Najib juga menitikberatkan bidang pendidikan.
Di bawah kepimpinannya, usaha untuk mempertingkatkan taraf pendidikan di Malaysia dipergiatkan, termasuk dengan menambah baik kurikulum sekolah dan meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi melalui pelbagai bantuan kewangan dan biasiswa.
Jasa dan sumbangan Bossku dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara tetap meninggalkan kesan yang mendalam.
Keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, pembaharuan sosial, dan pembangunan infrastruktur yang diperkenalkannya menjadi salah satu warisan penting dalam sejarah kepemimpinannya.
0 Ulasan