Insiden pengembara warga asing dikasari tak libat pegawai imigresen

 


Berikut adalah kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban hari ini berhubung isu seorang pegawai mengasar pengembara warga asing di KLIA baru-baru ini:

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merujuk kepada laporan satu portal berita berkaitan klip video seorang pengembara warga asing yang dikenakan Notis Penolakan Masuk  di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 telah dilayan secara kasar termasuk ditumbuk oleh seorang pegawai baru-baru ini. 

Jabatan ini menegaskan  bahawa insiden tersebut tidak melibatkan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia.

Dalam memberikan kemudahan kemasukan di KLIA, JIM bertanggungjawab memastikan keselamatan negara tidak dikompromi. 

Setiap pengembara warga asing yang ingin masuk ke Malaysia perlu memenuhi syarat-syarat kemasukan sebelum diberikan kemudahan imigresen untuk memasuki negara ini. 

Bagi pengembara warga asing yang tidak dapat memenuhi syarat, satu Notis Penolakan Masuk (Not To Land - NTL) akan dikenakan.

Berdasarkan Seksyen 24, Akta Imigresen 1959/63, pengembara warga asing yang telah dikenakan notis NTL, akan diserahkan kepada syarikat penerbangan untuk diuruskan penghantaran pulang ke tempat embarkasi terakhir. 

Syarikat penerbangan bertanggungjawab memastikan pengembara yang telah di NTL untuk dihantar pulang dengan segera.

Sementara menunggu untuk dihantar keluar, pengembara warga asing yang telah di NTL akan ditempatkan di ruang yang dikhaskan di holding lounge (HL). Ruang ini adalah ruang yang berhawa dingin, mempunyai kerusi menunggu dan berdekatan dengan kemudahan asas seperti tandas. 

Mereka juga diberikan makanan tiga (3) kali sehari oleh syarikat penerbangan.

JIM komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan juga pengembara asing yang memasuki Malaysia.


JIWA MERDEKA




Catat Ulasan

0 Ulasan