Tajaan lawatan rasmi calar integriti PMX - Syahir

 


Berikut adalah kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman hari ini:

Peribahasa lama – Jauh perjalanan, luas pengalaman;

Peribahasa baharu – Jauh perjalanan, luas pembayaran.

Setelah jauh berkelana merentas benua, kepulangan Perdana Menteri cuba disambut umpama ‘wira’ yang dijulang di mata dunia.

Walaupun pulang dengan angka pelaburan dan pasaran eksport berbilion ringgit, rakyat lebih mendambakan limpahan ekonomi dan ‘keberhasilan’ sebenar kepada negara.

Tahniah pasukan MITI dan Wisma Putra yang bekerja keras menjayakan misi ini.

Namun lawatan Perdana Menteri kali ini lebih mengundang kritikan berbanding pujian.

Terdahulu berkait jawapan “YES” terhadap soalan berkenaan hak (regim haram) untuk wujud dan hak (penjenayah genosid) untuk mempertahankan diri. Pencerahan telah diberikan.

Terbaharu, timbul polemik tentang kos perjalanan Perdana Menteri merentas tiga benua; asalnya disebut 70%-80% ditanggung syarikat swasta yang mengikuti rombongan.

Terkini, Menteri Komunikasi tampil menjelaskan, “Jumlah kos penerbangan sewaan khas pesawat Malaysia Airlines jenis Airbus A350 adalah sebanyak RM6.1 juta.

“Kos yang telah dibiayai oleh kerajaan Malaysia untuk delegasi rasmi berjumlah RM1.6 juta bersamaan dengan 27 peratus daripada kos keseluruhan.

Manakala, delegasi perniagaan membayar 73 peratus daripada jumlah tersebut iaitu RM4.5 juta".

Tajaan Lawatan Mencalar Imej PM & Pakatan Harapan.

Tindakan Perdana Menteri menerima tajaan syarikat swasta untuk urusan lawatan rasmi membuka ruang kepada konflik kepentingan (conflict of interest) dan menjejaskan integriti pentadbiran kerajaan, khususnya Perdana Menteri dan ‘air muka’ Pakatan Harapan.

Tindakan ini juga mencetuskan persepsi negatif bahawa setiap keputusan (dan pendirian) rasmi kerajaan boleh dipengaruhi oleh pihak penaja (atau pelobi) berkepentingan, sekali gus menghakis keyakinan rakyat dan komuniti antarabangsa terhadap kerajaan.

Amalan ini turut memberi teladan buruk kepada penjawat awam, jelas melanggari etika dan pekeliling yang perlu dipatuhi, apatah lagi Perdana Menteri merupakan ‘orang nombor satu’ dalam kerajaan yang perlu menunjukkan teladan.

Amalan ini juga berpotensi mencambahkan budaya kronisme, nepotisme dan korupsi dalam negara, di samping boleh membenihkan amalan ‘tajaan pelobi’ dalam urusan pentadbiran, kewangan, dan diplomasi kerajaan – barah rasuah yang perlu dihentikan.

Integriti ‘Berhak’ Untuk Dipertahankan.

Sewajarnya segala urusan rasmi Perdana Menteri, MITI dan Wisma Putra hendaklah dibiayai secara telus melalui saluran kewangan rasmi, menggunakan segala peruntukan daripada ‘Kumpulan Wang Yang Disatukan’ yang telah diluluskan.

Sewajarnya jua, Perdana Menteri hendaklah dengan tegas menolak sebarang bentuk tajaan, imbuhan dan bayaran pihak swasta berkait urusan perjalanan dan penginapan rasmi (termasuk kediaman dan kenderaan peribadi), seandainya ditawarkan.

Janganlah sampai Ekonomi Madani menjerumuskan negara ke tahap ‘penguasaan korporat’ seperti yang pernah diungkapkan oleh Jim Hightower:

“The corporations don't have to lobby the government anymore. They are the government.” (Syarikat korporat tidak perlu lagi melobi kerajaan, (kerana) mereka adalah kerajaan).

Sayugia dipertegaskan, INTEGRITI berhak untuk wujud, dan berhak untuk dipertahankan.

Justeru pasukan SPRM dan Jabatan Audit Negara hendaklah dipersilakan untuk menyemak dan menyiasat, tanpa prejudis dan sekatan.

Semoga ALLAH selamatkan Malaysia.

SS, Bachok

22 November 2024




Catat Ulasan

0 Ulasan