Berikut adalah kenyataan media Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Malaysia (UMMAH), Mohd Zai Mustafa hari ini:
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), ingin menzahirkan kebimbangan serius mengenai penjualan produk Sandwich Ham & Cheese di rangkaian kedai KK Mart Concept Store produk dari syarikat Shake and Bake Cafe Sdn Bhd yang didapati menggunakan logo halal yang tidak sah dan mengandungi bahan yang tidak jelas halal.
Isu ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam yang bergantung sepenuhnya pada pengesahan halal yang sah dan diiktiraf oleh pihak berkuasa yang diamanahkan, iaitu Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Kejadian ini menunjukkan bahawa masih ada kekurangan dalam pengawasan produk yang berada di pasaran, khususnya dalam memastikan bahan dan logo halal yang digunakan adalah sah dan diakui.
UMMAH ingin menegaskan bahawa ,
Penjualan produk dengan logo halal yang tidak sah adalah satu bentuk penipuan dan boleh menyebabkan kekeliruan kepada umat Islam dalam membuat keputusan yang tepat mengenai makanan yang mereka beli.
Pihak berkuasa yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pengeluar dan pengedar yang menggunakan logo halal palsu serta menjual produk yang mengandungi bahan yang tidak halal, demi menjaga kepentingan umat Islam dan keselamatan makanan yang dipasarkan.
Pengusaha syarikat pengeluar di seluruh negara perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan produk yang dijual di premis mereka mematuhi standard halal yang sah dan diiktiraf oleh JAKIM serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
UMMAH menyeru agar pihak berkuasa, termasuk JAKIM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), segera melakukan siasatan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap pihak yang terlibat dalam penjualan produk ini.
Selain itu, kami juga mendesak agar langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih ketat dan pemeriksaan yang lebih menyeluruh dijalankan untuk mengelakkan kejadian serupa daripada berulang di masa depan.
Kami juga menyeru umat Islam di seluruh negara untuk sentiasa berhati-hati dalam memilih produk dan memastikan produk yang digunakan mendapat pengesahan halal yang sah daripada pihak berkuasa.
UMMAH bertekad untuk terus memperjuangkan kepentingan umat Islam dan memastikan tiada pihak yang memanipulasi isu halal demi keuntungan semata-mata.
0 Ulasan