Lebih baik kerajaan Madani dipanggil kerajaan 'Gagalni' - Dominic

 


Presiden GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, berpendapat bahawa Kementerian Kewangan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kerugian sebanyak RM500 juta yang timbul dalam urus niaga jual beli saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) melalui prinsip akauntabiliti dan ketelusan pentadbiran.

Beliau bersetuju bahawa untung rugi dalam pelaburan atau urus niaga di pasaran saham adalah perkara biasa. 

"Namun, jika dana tersebut datang daripada rakyat, kerajaan tidak seharusnya berkompromi dalam menjalankan siasatan yang menyeluruh, memastikan ketelusan urus niaga ini dan melaporkan hasilnya kepada umum. 

"Sama ada rugi atau kurang untung RM500 juta ini, ia tetap akan menjejaskan dividen KWSP, sekali gus merugikan ahli-ahlinya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dominic mempersoalkan kerajaan, jika pelaburan Fashion Valet Sdn Bhd oleh Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengalami kerugian RM43.9 juta sehingga memerlukan campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka kerugian yang dialami KWSP dalam siri urus niaga ini yang lebih 11 kali ganda jumlah tersebut, iaitu RM500 juta, tidak boleh diabaikan tanpa sebarang tindakan.

Beliau berkata, dalam isu berkaitan urus niaga saham MAHB, terdapat beberapa persoalan yang perlu diperjelaskan, termasuk fakta bahawa pegangan saham KWSP dari Mac 2010 hingga Mac 2023 kekal dalam lingkungan 10-15%. 

Dominic ingin tahu mengapa secara tiba-tiba pada Disember 2023, sebahagian besar saham itu dijual sehingga hanya tinggal 5.29%.

“Selepas itu, pada Mei 2024, kerajaan mengumumkan rancangan untuk menswastakan MAHB melalui KWSP dan Khazanah Nasional. 

"Ketika ini, KWSP pula dengan tergesa-gesa membeli semula 25% saham MAHB di pasaran pada harga tinggi RM11 sesaham, meningkatkan pegangan saham mereka kepada 30%!" katanya

Dominic juga tidak dapat menerima alasan KWSP menggunakan istilah “firewall” untuk menunjukkan profesionalisme pentadbiran agensi tersebut. 

"Dari penjualan pada harga rendah kepada pembelian pada harga tinggi dalam tempoh masa yang singkat, adakah terdapat kelemahan dalam pengurusan risiko pelaburan KWSP?

"Jika Perdana Menteri pernah menyatakan bahawa GLC perlu berusaha memastikan ekonomi yang makmur demi kesejahteraan rakyat, keputusan pelaburan KWSP dalam urus niaga saham kali ini jelas bertentangan dengan matlamat kerajaan.

"Adakah kerajaan berniat untuk membiarkan ‘kesilapan pelaburan’ ini berakhir tanpa sebarang tindakan, seperti isu-isu lain sebelum ini? Jika ya, lebih baik kerajaan ini tidak dipanggil kerajaan Madani tetapi elok dipanggil kerajaan 'Gagalni'," katanya.







Catat Ulasan

0 Ulasan