Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menempelak Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang didakwa menunggang isu penjual belon yang dikasari penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) demi kepentingan politik.
Beliau berkata, sepatutnya isu yang melibatkan agama dan bangsa tidak dipolitikkan, malah semua pihak perlu bersama-sama membantu tanpa mengira warna parti politik.
“Inilah antara contoh kenapa Melayu berpecah belah. Bila ada yang menunggang demi kepentingan politik.
“Sepatutnya isu yang melibatkan agama dan bangsa, ketepikan warna parti politik, sama-sama bantu orang kita, bukan hanya sembang kencang, tuduh orang nak membantu pula main wayang,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Dr Akmal mengulas komen Tun Faisal dalam Facebook yang mempertikaikan tindakan Pemuda UMNO membela nasib penjual belon tersebut.
Beliau menegaskan tidak akan berdiam diri apabila isu penindasan terhadap peniaga kecil berlaku dan menolak tuduhan bahawa beliau hanya bermain wayang dalam isu berkenaan.
“Yang menunggang dan main wayang ni adalah orang seperti kau lah Tun Faisal Ismail Aziz. Pemuda tak bersuara, tanya mana suara Pemuda UMNO. Bila kita bersuara dan nak bantu, beritahu pula main wayang.
“Kau patut minta parti kau juga untuk bantu isu Abang Belon ni dapatkan keadilan, bukan bila ada orang nak bantu, kau tuduh pula orang tu main wayang,” katanya.
Menurut beliau, bangsa lain tidak berpolitik apabila berdepan isu yang menyentuh kepentingan komuniti mereka, sebaliknya bersatu tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
“Jika bangsa lain, isu yang melibatkan bangsa mereka, tak kira parti apa, mereka bersama ketepikan perbezaan mereka.
“Kita pula tak habis-habis main politik murahan begini. Bilalah Melayu nak bersatu padu,” katanya.
0 Ulasan