Menara KL kekal milik kerajaan - Kementerian Komunikasi

 

Gambar hiasan: Faizal Ortho / Pexels

Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur adalah milik kerajaan serta pengambilalihan konsesi hanya melibatkan perubahan pengurusan dan operasi yang telah dilaksanakan melalui notis pelawaan cadangan (RFP bagi projek kerjasama awam swasta (PPP)) selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.

Menurut kementerian, bagi maksud tersebut, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM) telah melaksanakan proses RFP.

"Seterusnya Jemaah Menteri telah memperakukan pembida berjaya berdasarkan penilaian ke atas RFP tersebut. 

"Pembida berjaya ini telah diumumkan oleh pihak kerajaan pada 29 Mei 2024," katanya dalam kenyataan media semalam.

Kementerian Komunikasi juga mengambil maklum akan writ saman dan permohonan injunksi yang telah difailkan oleh Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) lanjutan daripada pelantikan syarikat konsesi baharu itu. 

Oleh itu, pihak kerajaan melalui kementerian berkenaan akan memastikan bahawa apa-apa tindakan yang akan diambil kelak adalah selaras dengan proses undang-undang. 

"Sehubungan itu, pihak kementerian memohon agar semua pihak dapat memberikan ruang kepada proses perundangan ini berjalan dengan lancar.

"Semua pihak yang terlibat termasuk orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh mengganggu proses perundangan yang sedang berjalan.

"Kementerian Komunikasi kekal komited terhadap tatakelola yang baik dan akan memastikan perkara ini ditangani dengan sewajarnya," katanya.


BACA LAGI


MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan