Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan RM100 serta penurunan harga petrol RON95 sebanyak enam sen disifatkan sebagai langkah terdesak untuk meredakan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu bukanlah penyelesaian sebenar terhadap masalah kos sara hidup yang terus menghimpit rakyat.
“Ini bukanlah suatu tindakan yang betul untuk menangani masalah bebanan kos sara hidup. Yang rakyat mahukan ialah kerajaan mengkaji semula pengenaan pelbagai bentuk cukai dan pemotongan subsidi yang membebankan mereka. Ini tidak dilakukan.
“Banyak wang yang dipungut dari rakyat, yang dipulangkan hanyalah sedikit. Ia sudah terlambat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia supaya menyertai perhimpunan aman Turun Anwar esok sebagai tanda protes terhadap kegagalan pentadbiran Anwar mengurus negara dengan baik.
“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk datang beramai-ramai menyertai perhimpunan ini bagi menunjukkan sikap terhadap kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Anwar bukan sahaja telah gagal mengurus negara dengan baik, malah memungkiri janji-janjinya kepada rakyat.
"Sudahlah isu beban kos sara hidup rakyat gagal ditangani, banyak pula cukai baharu diperkenalkan dan subsidi dipotong yang menambah beban rakyat,” katanya.
Muhyiddin turut membidas kerajaan yang didakwa menekan suara rakyat, sekali gus mencabuli prinsip tatakelola yang baik serta kebebasan bersuara yang dijanjikan sebelum ini.
“Semakin ramai rakyat biasa yang diugut, disiasat dan didakwa hanya kerana menyatakan bangkangan mereka terhadap dasar dan tindakan kerajaan. Ini menimbulkan kemarahan dan kebencian rakyat,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau menyeru pihak polis agar memastikan perhimpunan itu berjalan dalam keadaan aman serta peserta mematuhi undang-undang.
“Saya memohon pihak Polis Diraja Malaysia supaya menjaga keamanan dan ketenteraman sepanjang perhimpunan ini berlangsung.
“Saya juga meminta supaya peserta perhimpunan menjaga adab dan tatasusila serta patuh kepada undang-undang. Jangan cetuskan sebarang provokasi yang mengganggu ketenteraman awam.
“Ingat, menyertai perhimpunan aman adalah hak setiap rakyat Malaysia yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada sesiapapun yang boleh menghalangnya. Justeru, jaga dan peliharalah hak ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Muhyiddin turut mengesahkan kehadiran beliau bersama barisan kepimpinan PN dalam perhimpunan tersebut.
“Saya dan rakan-rakan pimpinan Perikatan Nasional akan menghadiri perhimpunan Turun Anwar esok. Ayuh, kita turun beramai-ramai esok!” katanya.
0 Ulasan