Anak Rafizi diserang dua lelaki guna jarum suntikan

 

Anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli diserang dua lelaki tidak dikenali menggunakan jarum suntikan di sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1.45 petang itu, anak dan isteri Rafizi sedang memasuki kereta untuk meninggalkan kawasan tersebut sebelum seorang lelaki tiba-tiba mengheret anaknya dan mencucuk dengan jarum suntikan.

“Semakan menunjukkan dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya. 

"Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata serangan itu dilakukan oleh dua lelaki berpakaian hitam sepenuhnya serta bertopi keledar menutup muka.

“Mereka telah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada ketika yang sesuai,” katanya.

Anak beliau dibawa segera ke Hospital UPM untuk rawatan manakala pihak polis tiba di lokasi sejurus selepas kejadian.

“Saya dan keluarga saya telah pun memberi kenyataan kepada pihak polis. 

"Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh pihak polis dan Hospital UPM,” katanya.

Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada  polis dan Hospital UPM yang membantu keluarganya mengharungi insiden berkenaan.

“Sepanjang saya menjadi seorang ahli politik berprofail awam, inilah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti ini. 

"Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengirim mesej dan bertanya khabar.

“Insya-Allah, sementara saya akan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa,” katanya.




Catat Ulasan

0 Ulasan