Peguam, Datuk Adnan Seman mempersoalkan mengapa pertuduhan tidak dikenakan ke atas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mengeluarkan kenyataan berkaitan cadangan mewajibkan sijil halal bagi restoran dan syarikat makanan, terutamanya yang tidak menyediakan daging babi atau alkohol 'memalukan negara'.
Menurut beliau, tiada langsung keperluan untuk Teresa mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Adnan berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na'im Mokhtar telah menyatakan bahawa beberapa akta atau undang-undang perlu dipinda dan banyak agensi akan terlibat dalam penguatkuasaan jika cadangan mewajibkan sijil halal ini dilaksanakan.
"Malah, katanya, Kabinet juga belum membuat keputusan muktamad mengenai perkara tersebut.
"Ramai pihak yang membuat laporan polis dan pelbagai pihak tampil mengecam kenyataan Teresa yang dikatakan menggugat ketenteraman awam.
"Perdana Menteri turut mengecam kenyataan Teresa.
"Jika Akmal Saleh boleh didakwa akibat kenyataannya yang mengecam mereka yang menaikkan dan merekodkan video kibaran bendera Malaysia, Jalur Gemilang secara terbalik mengapa Teresa tidak didakwa?
"Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi juga mesti dilihat dilaksanakan," katanya dalam hantaran Facebook, semalam.
0 Ulasan