Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mempertahankan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh dalam isu bendera terbalik.
Menurut beliau, Dr. Akmal telah melakukan perkara yang betul dan itu tindakan patriotisme yang patut dipuji.
"Bendera adalah panji panji negara. Ia adalah maruah. Mana ada negara tanpa bendera. Panglima tentera akan pastikan bendera tidak jatuh ke tanah.
"Putus tangan kanan, tangan kiri menyambutnya. Ikrar mereka ialah 'akan ku pegang sampai mati'," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Mohd. Puad menambah, perbuatan memasang bendera terbalik adalah jenayah jika disengajakan.
Sebaliknya, beliau memberitahu, jika tidak sengaja itu maknanya kurang peka, ambil lewa dan kurang patriotik.
"Apa perasaan kita apabila lagu Negaraku dikumandangkan ada yang tidak bangun berdiri.
"Apakah tidak boleh ditegur? Biarkan? Kalau ditegur, apakah kita dianggap zionis, samseng politik dan samseng perkauman?
"Dr. Akmal dan Pemuda UMNO bukan mahu merusuh. Itu hak mereka untuk berhimpun," jelasnya.
Mohd. Puad mempersoalkan mengapa enapa pula Lawyers for Liberty yang menyokong perhimpunan Turun Anwar 26 Julai lalu, tiba tiba datang menganggu perhimpunan Pemuda UMNO dan bawa sepanduk menuduh Dr. Akmal zionis.
"Bukankah kamu yang zionis?" soalnya.
Beliau juga menyifatkan DAP pun dua kali lima serta mempersoalkan tindakan mereka mendesak polis menghalang perhimpunan Pemuda UMNO.
"Apakah mereka bawa senjata untuk merusuh? Baru sekarang mahu edar bendera dan pasang bendera besar?" soalnya.
Atas sebab itu, katanya, Dr. Akmal patut dipuji kerana semangat patriotismenya.
"Dia tidak membela Pemuda UMNO Terengganu yang juga buat silap. Mereka yang menghalang patriotisme sebenarnya samseng.
"Termasuk samseng akademik walau pun profesor kejuruteraan," ujarnya.
0 Ulasan