Hantaran palsu berunsur perkauman, SKMM siasat ADUN Manjoi


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menjalankan siasatan dan mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri, berhubung hantaran palsu berunsur perkauman di media sosial mengenai insiden seorang wanita menaiki pentas semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak di Ipoh baru-baru ini.

Menurut SKMM, hantaran tersebut mendakwa kononnya tindakan tersebut dilakukan seorang perempuan berbangsa Cina. 

Katanya, seperti yang telah disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, dakwaan itu adalah tidak benar dan berpotensi menimbulkan ketegangan kaum serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

"Sesi rakaman keterangan serta siasatan lanjut telah dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan." katanya.

SKMM menegaskan bahawa penyebaran kandungan palsu berunsur perkauman merupakan perbuatan serius yang boleh mengancam keharmonian serta ketenteraman awam. 

Orang ramai diingatkan agar sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan