Jabatan Peguam Negara (AGC) menyerahkan Notis Untuk Tunjuk Sebab kepada Che Muna Din semalam berhubung satu hantaran media sosial yang didakwa bersifat menghina mahkamah.
AGC dalam kenyataan media hari ini berkata, notis tersebut diserahkan mengikut Aturan 52 Kaedah 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 selepas wanita itu memuat naik hantaran di Facebook menggunakan akaun “Mona Din” pada 4 September lalu mengenai prosiding inkues Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
“Daripada penelitian jabatan ini, hantaran tersebut antara lain mempertikaikan keterangan saksi pakar Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu, yang berpotensi mempengaruhi pandangan awam serta mengganggu perjalanan prosiding inkues,” katanya.
Kenyataan itu menjelaskan, penghantaran notis berkenaan adalah sebahagian daripada prosedur memulakan prosiding pengkomitan kerana menghina mahkamah.
AGC turut memaklumkan bahawa pertuduhan jenayah terhadap beberapa individu lain yang membuat kenyataan berhubung kes sama akan dikemukakan dalam masa terdekat.
“Jabatan ini memandang serius sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses keadilan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas menurut undang-undang,” katanya.
AGC dalam pada itu mengingatkan orang ramai supaya tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan sebarang hantaran yang boleh menimbulkan kekeliruan atau mengganggu prosiding mahkamah yang sedang berjalan.

0 Ulasan