Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, BN membuat keputusan yang tepat apabila tidak akan bekerjasama dengan GRS pada PRN Sabah.
Menurut beliau, pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu bukan atas faktor taktikal semata-mata.
"Tetapi sudah tentu kerana kejujuran politik. GRS lahir atas faktor pengkhianatan.
"Asalnya mereka UMNO. Kemudian melompat masuk Bersatu.
"Akhirnya tinggalkan Bersatu dan tubuh GRS. Justeru di mana kejujuran mereka?" katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Mohd. Puad berkata, sukar mengelak tikaman belakang jika UMNO bekerjasama dengan GRS.
Katanya, tidak mungkin GRS akan serah empat kerusi ADUN UMNO yang berpaling tadah.
"UMNO ada rekod prestasi yang boleh dijual di Sabah. Lebih baik kerjasama untuk elak pertindihan kerusi dan bertanding secara bersahabat.
"Tubuh kerajaan boleh bincang kemudian," jelasnya.

0 Ulasan