Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan kejatuhan kerajaan BN pada 2018 bukan berpunca daripada penolakan rakyat, sebaliknya akibat pengkhianatan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Ketua UMNO Sabah itu berkata, sejarah membuktikan BN Sabah tidak pernah ditolak melalui mandat rakyat, sebaliknya tumbang akibat tindakan segelintir wakil rakyat yang enggan berdiri bersama kerajaan pusat BN ketika parti itu menjadi pembangkang.
“Tindakan itu bukan sahaja menggugat kestabilan politik Sabah, malah mengkhianati mandat rakyat yang telah memilih BN sebagai parti majoriti melalui proses demokrasi yang sah,” katanya seperti dilaporkan UMNO Online semalam.
Menurut beliau, peristiwa tersebut harus menjadi pengajaran kepada rakyat Sabah agar tidak membiarkan masa depan negeri ditentukan oleh budaya lompat parti yang merugikan kestabilan politik.
“Politik moden bukan lagi soal siapa berkuasa, tetapi soal keabsahan dan kepercayaan.
"Apabila kerajaan bertukar bukan kerana kehendak rakyat, tetapi kerana pengkhianatan mandat, maka yang runtuh bukan sekadar kerajaan iaitu yang runtuh ialah institusi, moral, dan maruah politik negeri itu sendiri,” ujarnya.
Bung Moktar menambah, Sabah kini sedang berdepan apa yang disifatkan sebagai “democratic fatigue” atau keletihan rakyat terhadap politik yang tidak berprinsip dan tidak konsisten.
“Setiap episod lompat parti bukan sekadar drama politik, tetapi mencederakan kontrak sosial antara rakyat dan pemimpin.
"Kerajaan yang lahir daripada pengkhianatan tidak akan mampu menumbuhkan keyakinan. Tanpa keyakinan, tidak akan ada kestabilan yang mampu bertahan,” katanya.
Beliau menegaskan kestabilan tidak lahir daripada slogan, tetapi daripada integriti kepimpinan serta kekuatan sistem yang kukuh.
“UMNO dan BN membawa dua elemen utama dalam pentadbiran moden iaitu konsistensi dasar dan kesinambungan institusi.
"Pembangunan tidak boleh dibina di atas kekacauan politik. Pelaburan memerlukan kestabilan, dasar memerlukan kesinambungan, dan rakyat memerlukan keyakinan,” katanya.
Bung Moktar turut menyeru agar Sabah meninggalkan politik percubaan dan kembali kepada kepimpinan berwawasan serta pentadbiran yang berpaksikan akal dan kestabilan.
0 Ulasan