Tan Sri Muhyiddin Yassin patut melupakan angan-angannya untuk kembali menjadi Perdana Menteri. Parti sendiri pun tunggang-langgang, macam mana hendak memimpin negara.
Setakat ini, dua pemimpin Bersatu telah dikenakan tindakan disiplin. Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat manakala Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian.
Tindakan tegas itu diambil kerana kedua-duanya lantang bersuara mempersoalkan kewajaran Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025 menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri pada PRU16.
Kini sudah menjadi rahsia terbuka bahawa PAS yang menjadi sekutu Bersatu dalam PN sendiri lebih cenderung menyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon Perdana Menteri.
Mungkin kem Hamzah dan juga PAS menyedari sukar bagi mereka untuk memberi tentangan sengit terhadap Kerajaan Perpaduan sekiranya Muhyiddin dijadikan poster boy.
Selain berdepan kes mahkamah melibatkan dana Jana Wibawa, isu menantu Muhyiddin yang lari ke luar negara memberi bola tanggung kepada pihak lawan.
Sudah tentu banyak masa, tenaga dan air liur terpaksa dihabiskan untuk mempertahankan Muhyiddin yang kini menjadi liabiliti kepada PN.
Alternatif yang terbaik adalah memilih tokoh lain sebagai calon Perdana Menteri dan Hamzah dilihat sesuai diketengahkan untuk mengambil tempat Muhyiddin.
Muhyiddin pun pernah menjadi Perdana Menteri (walaupun tidak melalui proses pilihan raya). Apa salahnya beri peluang kepada orang lain pula untuk merasa.
Beliau pun sudah diberi peluang menjadi poster boy PN pada PRU15 namun PN masih gagal menjadi kerajaan.
Rakyat sudah memberi isyarat jelas bahawa cukuplah sekali Muhyiddin menjadi Perdana Menteri. Tiada lagi peluang kedua.

0 Ulasan