Muslim Choice bukan perakuan halal diiktiraf pihak berkuasa - JAKIM

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa pengiktirafan menggunakan istilah seperti “Muslim Choice” oleh mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim Friendly Watch (MFW) bukanlah satu perakuan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa dan boleh mengelirukan masyarakat.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya telah menerima maklumat mengenai pertubuhan tersebut yang memperkenalkan pengiktirafan “Muslim Choice” kepada para pengusaha kononnya bagi memberi keyakinan kepada pengguna bahawa produk atau premis diiktiraf adalah berkualiti, bersih, selamat serta selari dengan prinsip Islam.

Menurut beliau, JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos 2024 dan memaklumkan bahawa pengiktirafan tersebut berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna. 

"Walau bagaimanapun, berdasarkan aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, MFW dikesan masih meneruskan aktiviti tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sirajuddin menjelaskan, berdasarkan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya JAKIM serta Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) diberi kuasa mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan memberi kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia kepada mana-mana pihak yang diperakukan.

Katanya, sebarang penggunaan logo, simbol, istilah atau kenyataan yang membawa maksud halal dan boleh dimakan oleh orang Islam yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak selain JAKIM atau majlis agama Islam negeri (MAIN) atau jabatan agama Islam negeri (JAIN) adalah tidak sah serta menyalahi peraturan.

“Ia juga boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara dan mengelirukan pengguna Muslim,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah, kenyataan atau ungkapan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan rasmi daripada JAKIM atau MAIN dan JAIN.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan