Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menyifatkan pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan sebagai 'generasi kakak tua'.
Beliau membuat tanggapan itu ekoran keengganan mereka mendengar keluhan para guru dan ibu bapa.
"Dengar sendiri masalah mereka, bukan sibuk nak meniru negara lain dan bukan sibuk nak mengatakan ini pandangan pakar lah bagai tanpa memahami kesukaran guru, ibu bapa dan anak-anak di bawah ini.
"Atas kertas tak sama dengan realiti di bawah wahai Ketua Pengarah.
"Oh ya, Ketua Pengarah juga adalah generasi yang dahulunya menduduki peperiksaan kan, jadi jangan jadi seperti kakak tua yang hanya arahan sahaja juga ya," katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad menyatakan beliau tidak bersetuju pencapaian murid kini dinilai menerusi peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu dibuat secara holistik dalam usaha melahirkan generasi bukan sahaja cemerlang atas kertas, tetapi juga bersahsiah tinggi.
Beliau tidak menolak sistem pendidikan negara cuma akan melahirkan generasi burung kakak tua sekiranya cenderung bergantung kepada keputusan peperiksaan untuk menilai perkembangan seseorang murid.

0 Ulasan