Saya dihina penjilat presiden sebagai pengemis QR - Chegu Bard


Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa dirinya dihina oleh seorang pemimpin parti itu, sebaik sahaja dibebaskan daripada pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata, walaupun berdepan pelbagai kes di mahkamah, beliau tidak menerima sebarang bantuan daripada parti, malah turut dihina oleh pemimpin terbabit sebagai ‘pengemis QR’.

"Ya, saya tak kaya, namun semangat saya tak pernah patah. Saya dijamin dan terus berlawan dengan sumbangan orang ramai.

"Parti tidak membantu tapi janganlah sampai menghina. Saya dihina oleh seorang pemimpin parti penjilat presiden sebagai pengemis QR,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Chegu Bard turut mendakwa pemimpin berkenaan sering terlepas daripada tindakan disiplin kerana dilindungi oleh pihak tertentu.

"Pemimpin bangsat ini banyak aduan disiplin ke atasnya namun dikatakan dilindungi sebab dia kaya. 

"Baru ini bawa tunai ratus ribu ringgit dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Bersatu.

"Maka saya syak kerana itu (dia) terus dilindungi. Saya hanya ada Allah dan rakyat dan saya akan terus lawan," katanya lagi.

Namun, Badrul Hisham tidak menamakan individu yang dimaksudkan dalam dakwaannya itu.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan beliau tanpa perlu membela diri atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong tahun lalu.

Hakim Norma Ismail membuat keputusan tersebut selepas meneliti hujahan dan keterangan kedua-dua pihak, dan mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Mengulas keputusan itu, Badrul Hisham yang diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali menegaskan bahawa beliau tidak pernah memfitnah Yang di-Pertuan Agong.

"Selama lebih setahun saya hadapi kes ini. Terima kasih kepada hakim yang berani membuat keputusan.

"Terima kasih atas doa dan sokongan rakyat. Saya masih ada beberapa kes lagi perlu didepani. Insya-Allah saya akan terus berjuang.

"Regim menyalah guna kuasa bagi melakukan intimidasi politik," katanya.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan