Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk menjalankan siasatan segera berhubung tuduhan rasuah terhadap bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Beliau berkata, SPRM bebas bertindak tanpa sebarang campur tangan luar.
"Kerajaan Madani kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti, dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang," tegasnya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri dan mendakwa ada percubaan untuk menyerangnya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.
Anwar menambah, beliau menerima peletakan jawatan Shamsul Iskandar dan mengucapkan terima kasih atas khidmatnya.
Sebelum meletak jawatan, Shamsul Iskandar diselubungi kontroversi ekoran dakwaan seorang individu berkaitan rasuah.
Selain itu, beliau juga terpalit dengan kontroversi berhubung surat sokongannya terhadap kontraktor bagi projek Kementerian Kesihatan.
Anwar menyatakan beliau telah memberi teguran keras terhadap Shamsul Iskandar.
Walau bagaimanapun, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Rafizi Ramli berpandangan, teguran keras itu tidak memadai.
Ahli Parlimen Pandan itu mahu Shamsul Iskandar dipecat atau dilaporkan kepada SPRM.

0 Ulasan