Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencuri duit parti dan menyimpannya di rumah adalah tuduhan berat.
Beliau percaya tuduhan itu benar-benar memalukan Muhyiddin namun Presiden Bersatu itu tidak akan memfailkan saman terhadap Dr. Mahathir.
"Apakah itu bermakna Muhyiddin terdesak minta tolong Tun Mahathir untuk menang PRU16?
"Dan di mana maruah Mahathir jika dia bekerjasama dengan orang yang dia tuduh pencuri?" katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Mohd. Puad menambah, dalam rakaman video, Dr. Mahathir menegur Muhyiddin kerana bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sehubungan itu, beliau bertanya apakah pendirian Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kumpulannya kerana isu tersebut boleh jadi senjata menggulingkan Muhyiddin.
"Mahathir dan Muhyiddin menjadikan politik Malaysia semakin toksik. Dua-dua kena berundur," katanya.

0 Ulasan