Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berpandangan, Barisan Nasional (BN) sepatutnya kekal sebagai pembangkang di Sabah bersama Parti Warisan dan Perikatan Nasional (PN).
Beliau yang juga Ketua Pemuda BN berkata, BN boleh menjadi pembangkang yang kuat membawa isu rakyat dan sentiasa mengimbangi tindakan kerajaan negeri.
Dr. Akmal memberitahu, rakyat mahu BN menjadi pembangkang sebab mereka ingin melihat BN berubah ke arah lebih baik.
"Kita terima kekalahan secara bermaruah dan kita perbaiki kelemahan kita.
"Baru rakyat boleh yakin dan kita kembali di hati rakyat.
"Dan jika itu boleh berlaku di Sabah, itu juga boleh berlaku di peringkat pusat.
"Dengar suara rakyat, insya-Allah rakyat kembali percaya pada kita," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Walau bagaimanapun, pandangan Dr. Akmal itu umpama mencurah air ke daun keladi.
Seorang wakil rakyat BN iaitu ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin diumumkan sebagai Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah hari ini.

0 Ulasan