Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam video yang tular bahawa beliau telah mencuri wang parti dan menyimpannya di rumahnya.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, itu adalah tuduhan liar berbentuk sangkaan yang amat tidak berasas sama sekali.
"Saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke dalam akaun parti yang diurus secara telus oleh Bendahari Agung.
"Dakwaan sedemikian dibuat berkemungkinan kerana beliau mendapat maklumat yang tidak benar daripada pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Presiden Bersatu itu berkata, sebagai seorang negarawan, Dr. Mahathir sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada beliau terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan terhadapnya.
Muhyiddin menambah, dalam banyak pertemuan dengan Dr. Mahathir, beliau tidak pernah membangkitkan perkara ini di hadapannya.
"Maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah ke atas diri saya," jelasnya.
Walau bagaimanapun Muhyiddin tetap menghormati Dr. Mahathir sebagai orang tua.
"Saya sendiri telah menyokong usaha-usaha beliau untuk mewujudkan perpaduan orang Melayu dan hubungan kami adalah akrab.
"Oleh yang demikan, saya tidak berhasrat untuk mengheret beliau ke mahkamah," katanya.

0 Ulasan