Pemuda UMNO Johor cabar DAP bawa isu UEC ke semakan kehakiman

 


Pemuda UMNO Johor mencabar DAP supaya membawa isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke peringkat semakan kehakiman bagi menamatkan polemik berpanjangan yang sering dijadikan bahan politik.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, pihaknya kesal kerana DAP berulang kali menjadikan isu perpaduan nasional dan pendidikan sebagai permainan politik sempit serta bermusim.

“Terbaharu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming, telah mendesak kerajaan untuk mengiktiraf UEC, malah mengeluarkan ugutan bahawa DAP akan menarik diri daripada kerajaan sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemilihan masa isu itu dibangkitkan sejurus selepas kekalahan teruk DAP dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 jelas memperlihatkan kegusaran dan ketandusan strategi parti itu dalam usaha mengekalkan sokongan pengundi Cina yang semakin terhakis.

“Desakan agar UEC diiktiraf bukanlah perkara baharu. Ia sengaja diulang dan dipolitikkan secara bermusim, khususnya menjelang pilihan raya. Menjadikan isu pendidikan dan perpaduan nasional sebagai alat politik adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak matang,” katanya.

Sehubungan itu, Noor Azleen menegaskan Pemuda UMNO Johor mencabar DAP untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah bagi semakan kehakiman.

“Sekiranya mahkamah memutuskan bahawa UEC adalah selari dengan Perlembagaan Persekutuan serta memenuhi aspirasi dan dasar nasional dalam bidang pendidikan, maka tiada lagi alasan untuk kerajaan menangguhkan pengiktirafan UEC,” katanya.

Menurut beliau, keputusan semakan kehakiman itu akan menoktahkan segala polemik berhubung UEC, sekali gus membolehkan kerajaan dan semua pihak memberi fokus sepenuhnya kepada isu-isu lebih mendesak dalam memperkukuh dan memperbaiki sistem pendidikan negara.


BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan