Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa hari ini.
MIDA dalam hantaran Facebook berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan pelantikan tersebut yang diyakini mampu membawa tenaga baharu kepada usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan dipercayai di peringkat global.
Tengku Zafrul sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, di mana Malaysia mencatat pencapaian bersejarah termasuk rekod RM378.5 bilion pelaburan yang diluluskan pada 2024.
“Dedikasi dan visi beliau benar-benar telah meletakkan Malaysia di landasan kejayaan global,” menurut kenyataan MIDA.
MIDA menambah keyakinan bahawa kepimpinan Tengku Zafrul, disokong oleh pengalaman beliau sebagai bekas Ahli Lembaga Pengarah MIDA serta kepakaran strategik, akan memperkukuh lagi usaha menarik pelaburan asing.
“Kami yakin kepimpinan beliau, disokong oleh pengetahuan institusi sebagai bekas Ahli Lembaga Pengarah MIDA dan kepakaran strategik, akan membawa tenaga baharu kepada usaha kami, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan dipercayai oleh pelabur di seluruh dunia.
"Kami amat menantikan bab baharu ini di bawah bimbingan beliau!” jelas MIDA.

0 Ulasan