Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menegaskan, tindakan tegas telah diambil terhadap seorang pegawai di pejabatnya yang ditahan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini, bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.
Beliau berkata, kementerian telah melaksanakan langkah segera termasuk mengarahkan pegawai berkenaan meletakkan jawatan serta-merta.
“Saya mengambil maklum laporan berhubung penahanan salah seorang pegawai yang berkhidmat di pejabat saya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Mustapha, Unit Integriti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga telah memulakan siasatan dalaman ke arah tindakan tatatertib mengikut ketetapan peraturan perkhidmatan.
“Pegawai berkenaan telah diarahkan meletakkan jawatan serta-merta daripada pejabat Timbalan Menteri. Unit Integriti KPT telah memulakan siasatan dalaman ke arah tindakan tatatertib mengikut ketetapan peraturan perkhidmatan,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa tiada sesiapa dikecualikan daripada proses undang-undang dan tatakelola, malah sebarang tindakan lanjut akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan Unit Integriti serta kerjasama dengan pihak berkuasa.
“KPT menegaskan bahawa tiada sesiapa dikecualikan daripada proses undang-undang dan tatakelola, dan sebarang tindakan lanjut akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan Unit Integriti serta kerjasama dengan pihak berkuasa,” katanya.
Sebagai Timbalan Menteri, Mustapha turut menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan integriti penyiasatan.
“Sebagai Timbalan Menteri, saya menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan integriti penyiasatan,” tegasnya.

0 Ulasan