Ahli Bersatu buat aduan Muhyiddin langgar disiplin parti

 

Seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mengemukakan aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin parti terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan pelanggaran tatatertib yang serius.

Ahli Bersatu Bahagian Putrajaya, Hariz Faisal Ismail berkata, aduan itu dibuat susulan tindakan dan kenyataan Muhyiddin sendiri, khususnya berhubung surat bertarikh 27 Januari 2026 kepada Presiden parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) serta penggunaan nama dan imej parti tanpa keputusan rasmi.

“Sebagai mantan pemimpin di peringkat bahagian dan nasional, saya mengambil rasa tanggungjawab sebagai ahli yang sayang kepada parti untuk melakukan laporan disiplin ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, penafian yang dibuat melalui surat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertarikh 28 Januari 2026 telah menimbulkan kekeliruan besar, sekali gus mencemarkan kredibiliti, maruah dan imej institusi Presiden serta reputasi Bersatu keseluruhan.

“Tindakan ini bukan sahaja mengelirukan ahli parti, malah memberi persepsi buruk kepada rakyat dan rakan gabungan,” katanya.

Tambahnya, lebih membimbangkan apabila cadangan dan tindakan yang terkandung dalam surat berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan secara rasmi melalui Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) atau Majlis Presiden, dan jelas bertentangan dengan keputusan-keputusan terdahulu parti.

“Sebagai Presiden, Muhyiddin terikat dengan Perlembagaan Parti, termasuk Fasal 22.1(c) – melaksanakan dasar-dasar parti, Fasal 22.1(d) – mematuhi arahan dan keputusan parti, dan Fasal 22.1(f) – memelihara nama baik dan maruah parti.

“Tiada mana-mana individu, termasuk Presiden, boleh berada di atas Perlembagaan Parti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar Lembaga Disiplin Bersatu menjalankan siasatan yang telus, menyeluruh dan berani serta mengambil tindakan sewajarnya tanpa pilih kasih demi mempertahankan integriti dan kelangsungan parti.

“Bersatu tidak boleh dikendalikan melalui keputusan sepihak, penafian terbuka atau tindakan yang mencalar institusi parti sendiri. Disiplin mesti ditegakkan, walau setinggi mana pun jawatan seseorang.

“Ini bukan soal individu. Ini soal prinsip, disiplin dan masa depan parti,” katanya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan