Tayangan perdana AMERICAN DOCTOR, sebuah dokumentari arahan pembuat
filem kelahiran Pulau Pinang, Poh Si Teng, telah berlangsung kelmarin di Festival
Filem Sundance 2026, salah satu festival dokumentari paling berprestij di
dunia. Dokumentari tersebut ditayangkan dalam kategori pertandingan Dokumentari
A.S.
Poh Si Teng ialah pembuat filem yang pernah menerima pencalonan Oscar
untuk dokumentari pendek St. Louis Superman dan pemenang Anugerah
Emmy baru-baru ini atas peranannya selaku penerbit eksekutif Patrice:
The Movie. Dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia, beliau mengaitkan didikan
yang diterimanya dengan pemupukan nilai belas kasihan, tanggungjawab, dan
kejelasan moral yang mendorongnya menghasilkan AMERICAN DOCTOR.
Dirakam di Gaza, Jordan dan Amerika Syarikat, filem ini menampilkan
kisah tiga doktor dari Amerika Syarikat — seorang berketurunan Palestin, manakala
dua lagi beragama Yahudi dan Zoroastrian — yang berkhidmat di Gaza dan
kemudian mempertaruhkan kerjaya mereka untuk berjuang dan membela nasib rakan-rakan
sekerja serta para pesakit di Palestin. Dirakam sepenuhnya dalam gaya vérité
(naratif realiti yang berkembang secara spontan), filem ini bermula di
sebuah hospital di Gaza, kemudian membawa penonton ke dewan Kongres AS, menelusuri
tanggungjawab etika para doktor yang bertugas dalam situasi peperangan dan
berdepan tekanan politik.
“Nilai-nilai yang saya hayati semasa membesar di Malaysia, bersolidariti
bersama individu-individu lain dan bertindak dengan berpandukan hati nurani,
adalah inti pati filem ini,” kata Teng. “Saya amat berbangga kerana
rakyat Malaysia memberi kepercayaan terhadap filem ini sejak dari mula lagi.
Kedermawanan mereka menjadikan American Doctor satu realiti.”
AMERICAN DOCTOR secara rasmi disenaraikan sebagai kerjasama produksi
Malaysia, bersama rakan kongsi dari Amerika Syarikat, Palestin, Qatar,
dan Denmark. Sokongan Malaysia amat penting pada detik kritikal dalam penghasilan
filem ini, sekali gus membuktikan komitmen berterusan negara berkenaan terhadap
penceritaan kemanusiaan dan perjuangan membela nasib rakyat
Palestin.
Penerbit bersama yang berpangkalan di Gaza, Mohammed Sawwaf dan
pengarah fotografi Ibrahim Al Otla memainkan peranan penting dalam
mendokumentasikan situasi sebenar di hospital semasa genosid berlaku. Kedua-dua
pembuat filem ini berasa sangat bangga kerana menjadi sebahagian daripada
projek yang disokong oleh rakyat Malaysia justeru membolehkan kisah tentang
Gaza dan warganya disampaikan secara teliti, tepat, dan bermaruah.
“Saya amat berterima kasih atas sokongan Malaysia. Rakyat Malaysia sentiasa
mendengar kisah Palestin dengan empati dan kejelasan moral.
“Komitmen Malaysia terhadap dokumentari seperti yang kami hasilkan adalah sangat
bermakna. Dokumentari adalah saksi awam yang merakam kesaksian, memastikan
memori tidak dipadamkan, dan membantu penonton memahami realiti melalui bukti,
bukan slogan. Melalui filem ini, Malaysia membantu dalam memastikan suara kami tersebar
ke seluruh dunia,” kata Mohammed Sawwaf yang juga penerbit bersama dan
pengasas Alef Multimedia.
Salah seorang Penerbit Eksekutif Bersama filem ini ialah Jismi
Johari, Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR).
Beliau merupakan seorang pemimpin kemanusiaan yang berpengalaman luas berkhidmat
di Gaza dan zon-zon krisis lain di seluruh dunia.
“Kami tertarik untuk menyokong AMERICAN DOCTOR setelah bertemu
dengan Poh dan melihat beliau benar-benar ikhlas. Setelah bertahun-tahun berkhidmat
di Gaza dan zon-zon krisis lain, saya tahu betapa sukarnya untuk merakam apa
yang sebenarnya berlaku di sana—dan saya faham betapa besarnya risiko yang
diambil kru penerbitan untuk mendokumentasikan detik-detik itu. Saya melihat
filem ini sebagai jambatan penting untuk advokasi; satu cara untuk mendekati
masyarakat di Amerika Syarikat dan seluruh dunia yang masih belum benar-benar
memahami realiti di Gaza. Saya benar-benar percaya Poh ialah individu yang berupaya
menyampaikan kisah ini secara jujur.”
Datin Paduka Marina Mahathir turut berperanan sebagai Penerbit
Eksekutif Bersama, manakala Imran Idzqandar sebagai penerbit
impak, sekali gus mencerminkan penglibatan berterusan Malaysia dalam aspek kemanusiaan,
budaya, dan dialog antarabangsa.
Seiring dengan tayangan AMERICAN DOCTOR di seluruh dunia, para pembuat
filem berharap karya ini menjadi bukti peranan Malaysia dalam menyokong penceritaan
beretika dan individu-individu yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk
tampil sebagai saksi.
0 Ulasan