Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tahu bahawa hayat politiknya sudah sampai ke penghujung.
Beliau berkata, Muhyiddin tidak mampu bertahan lagi.
"Hanya Muhyiddin yang tahu tiga Ahli Parlimen sahaja yang sokong dia. Ahli Bersatu yang lain semuanya ikut Datuk Seri Hamzah Zainudin.
"Pengerusi negeri yang letak jawatan seperti Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Dr Sahrudin Jamal dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bukan Ahli Parlimen," katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Puad mengimbau kembali ke zaman kerajaan Perikatan Nasional (PN) di mana Muhyiddin cuba bertahan apabila 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap.
"Akhirnya dia letak jawatan Perdana Menteri kelapan. Maka mana dia perwira politiknya? Mana dia jentikan ala ghaibnya?" katanya.
Beliau menyifatkan Muhyiddin sebagai ahli politik keras kepala.
"Sebab itu dia sanggup isytihar darurat masa PKP. Dia mengingkari nasihat YDP Agong sertai Kerajaan Perpaduan. Dia hanya perwira pakar memanipulasi keadaan," katanya.
Puad menambah, walaupun pandai ambil kesempatan tetapi Muhyiddin pemimpin yang lemah dari segi akar umbi dan menyebabkan beliau tidak mampu bertahan lama.
Beliau berkata, apa yang berlaku dalam Bersatu adalah Hamzah menguasai akar umbi parti dan akhirnya Muhyiddin menggelupur meninggalkan PN.
"Muhyiddin adalah perosak PN. Apa yang berlaku di Perlis jadi bukti. Dia yang bunuh PN.
"UMNO tidak terkena sedikit pun tempiasnya. Ia bagus untuk UMNO. Memang UMNO mahu PN mati," jelasnya.
Puad berkata, UMNO yakin PAS pun tidak berminat untuk mengetuai PN.
"Parti itu 'total loss' di PRN Sabah. Buat apa buang masa untuk memimpin PN. PAS tahu Bersatu akan 'tutup kedai'.
"Hamzah sedang merancang jajaran baharu. Bermakna PN juga akan tutup kedai. Itu yang prof seni bina Islam tidak tahu," katanya merujuk kepada kenyataan Prof. Datuk Dr. Tajuddin Rasdi.

0 Ulasan