MCW persoal keputusan tiada tindakan lanjut terhadap Zahid

 

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyatakan kebimbangan serius terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara semalam bahawa tiada tindakan berhubung kes 47 tuduhan berkaitan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata keputusan itu bukan sekadar bersifat teknikal perundangan, tetapi membawa implikasi besar terhadap kebebasan institusi kehakiman, prinsip pengasingan kuasa serta kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan jenayah negara.

Beliau menegaskan ,keputusan Mahkamah Tinggi untuk memerintahkan tertuduh membela diri dibuat selepas prima facie dibuktikan oleh pihak pendakwaan sendiri. 

“Apabila Jabatan Peguam Negara kini menyatakan bahawa keterangan ‘tidak mencukupi’ untuk meneruskan pendakwaan, persoalan asas yang timbul ialah: adakah ini bermaksud pihak pendakwaan mengakui kesilapan sendiri, atau secara tidak langsung menafikan kewarasan keputusan kehakiman?” katanya dalam kenyataan media hari ini. 

Jais mengulas kenyataan Jabatan Peguam Negara yang merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang telah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Menurut jabatan tersebut, hasil penelitian terhadap bahan dan keterangan baharu yang diperoleh daripada siasatan lanjut mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan.

Jais turut mempersoalkan, jika keterangan benar-benar tidak mencukupi, mengapa pendakwaan diteruskan sehingga peringkat pembelaan dan jika keterangan mencukupi ketika itu, apakah perubahan material yang benar-benar wujud hari ini.

Beliau berkata, peralihan daripada DNAA kepada tiada tindakan lanjut tanpa pembentangan awam butiran dapatan baharu yang bersifat substantif dan meyakinkan mencetuskan persepsi serius bahawa keputusan ini dipengaruhi pertimbangan politik, bukan semata-mata undang-undang. 

“Keadilan tidak boleh dijadikan alat rundingan politik,” tegasnya.

Menurut Jais, budi bicara Peguam Negara bukan kuasa mutlak tanpa semak imbang. 

Walaupun Perlembagaan memberikan budi bicara kepada Peguam Negara, katanya, budi bicara tanpa ketelusan, tanpa kebertanggungjawaban awam dan tanpa mekanisme semak imbang adalah berbahaya dalam negara demokrasi. 

“Apabila kes berprofil tinggi melibatkan rasuah dan salah guna kuasa ditamatkan secara eksekutif, rakyat hilang keyakinan terhadap integriti pendakwaan, institusi kehakiman kelihatan terhakis kewibawaannya dan usaha membanteras rasuah menjadi slogan kosong,” jelasnya.

Sehubungan itu, Jais menuntut beberapa langkah segera termasuk pendedahan terperinci dapatan baharu yang benar-benar membezakan DNAA dan keputusan NFA; penjelasan awam mengapa dapatan tersebut tidak boleh dinilai oleh mahkamah tetapi ditamatkan secara pentadbiran; pemerkasaan kebebasan pendakwaan termasuk pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya; serta pelaksanaan segera Suruhanjaya Bebas Pendakwaan bagi kes rasuah berprofil tinggi.

“Rasuah berskala besar tidak boleh ditutup dengan alasan prosedur. Keadilan yang dilihat tunduk kepada kuasa politik bukan keadilan,” tegas Jais.

Beliau menambah MCW akan terus memantau, bersuara dan menuntut pertanggungjawaban tanpa gentar dan tanpa kompromi.  

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan