Pasta ada DNA babi tidak dipasarkan di Malaysia - JAKIM



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan produk La Pasta Carbonara Flavour Pasta and Sauce keluaran San Remo Macaroni Co. Pty Ltd tidak dipasarkan di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, maklumat itu adalah hasil semakan di laman sesawang rasmi San Remo Malaysia.

Menurut beliau, produk berkenaan juga tidak memaparkan logo halal daripada mana-mana Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) yang diiktiraf oleh JAKIM pada label pembungkusannya.

"Ingin ditegaskan bahawa produk berkenaan tidak pernah dipersijilkan halal oleh jabatan ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sirajuddin mengulas pengumuman rasmi Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei kelmarin berhubung penemuan DNA khinzir dalam produk tersebut.

Beliau menambah, JAKIM akan terus melaksanakan pemantauan secara berterusan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk tersebut.

Sirajuddin menasihatkan orang ramai agar sentiasa memilih produk yang dipersijilkan halal oleh JAKIM atau badan pensijilan Halal luar Negara yang diiktiraf. 

"Amalkan sikap berhati-hati dalam memilih produk seumpamanya dengan menyemak label dan kandungan produk terlebih dahulu sebelum membuat pembelian. 

"Sekiranya terdapat sebarang penyalahgunaan logo halal pada produk yang tidak halal, orang ramai diminta untuk membuat laporan segera kepada pihak berkuasa yang berwibawa bagi membolehkan tindakan lanjut diambil," jelasnya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan