Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi percaya penyatuan politik antara partinya dan PAS tidak akan berjaya.
"Kalau ada perbincangan penyatuan UMNO-PAS dalam mesyuarat MKT akan datang saya menjadi ahli MKT pertama akan bercakap membantah cadangan tersebut," katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Beliau berpandangan, penyatuan politik itu bukan idea bagus,bersifat sementara dan akan berakhir dengan sakit hati.
Puad berkata, kalau PAS boleh menyalahgunakan agama maka apatah lagi dengan UMNO.
"PAS akan gunakan UMNO hanya untuk mendapatkan kuasa semata-mata," jelasnya.
Menurut beliau, atas kertas memang cantik tetapi PAS ada penyakit politik yang sukar disembuhkan.
"PAS suka berkahwin cerai politik. Cepat berkahwin tetapi cepat juga bercerai.
"Masalahnya bila bercerai, gabungan politik itu akan tutup kedai selama lamanya. PAS pernah menyertai APU (Angkatan Perpaduan Ummah), BA (Barisan Alternatif), Pakatan Rakyat (PR) dan Perikatan Nasional (PN).
"Semua gabungan itu telah berkubur. PN hanya menunggu masa sahaja," katanya.
Puad berkata, adalah lebih baik menubuhkan kerjasama longgar.
"Ia mesti menyeluruh. Bukan setakat untuk PRU. Kalau kedua pihak ikhlas ia akan kuat dengan sendirinya," katanya.

0 Ulasan