Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh membidas kenyataan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang mahu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf bagi kemasukan ke universiti awam.
Beliau kesal kerana pihak yang terang-terangan melawan dasar pendidikan negara dianggap mempertahankan hak mereka.
"Kita yang mempertahankan dasar pendidikan negara dianggap bermain sentimen perkauman pula," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini, Yu Hui berkata, perdebatan mengenai pengiktirafan UEC tidak wajar dilihat secara terasing, sebaliknya perlu dinilai dalam konteks lebih besar sama ada sistem kemasukan universiti awam negara ini benar-benar adil, telus dan seimbang.
Beliau berkata, bagi memastikan keadilan serta mengekalkan kualiti akademik, pengiktirafan UEC wajar disalurkan melalui mekanisme kemasukan terus ke universiti awam, sama seperti laluan bagi kelayakan antarabangsa lain termasuk A-Level, International Baccalaureate (IB) dan matrikulasi Australia.
Dr. Akmal turut mengingatkan tentang insiden bendera terbalik di Pulau Pinang yang menyebabkan beliau didakwa di mahkamah.
"Sama juga orang yang terbalikkan bendera secara sengaja masih bebas tidak dituduh, sebaliknya yang mempertahankan kedaulatan bendera negara pula yang dituduh di mahkamah.
"Bila garisan merah dah dilanggar, dan kita masih diam membisu, maka malulah kita pada anak bangsa ini," jelasnya.

0 Ulasan