Polis tahan pelajar UMPSA pijak al-Quran

 

Polis menahan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Kuantan pada 25 Februari 2026 kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memuat naik gambar memijak al-Quran.

Memetik laporan BH Online, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan tangkapan tersebut.

Menurut beliau, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap penuntut tersebut pada hari yang sama.

"Polis sudah menahan penuntut disyaki menghina Islam dan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Sejak 24 Februari 2026, tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA di media sosial.

Turut tular adalah gambar lelaki berkenaan dan tangkap layar komen yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama lain dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun dan denda.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menghantar komunikasi bersifat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut, atau mengganggu orang lain termasuk kandungan jelik.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara hingga setahun dan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

BACA LAGI





Catat Ulasan

0 Ulasan