Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengambil maklum kenyataan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mengecam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap individu tertentu yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes berprofil tinggi baru-baru ini.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, MCW berpendapat bahawa kenyataan tersebut terlalu tergesa-gesa dan berisiko membentuk persepsi negatif terhadap institusi penguatkuasaan sebelum fakta sebenar siasatan diperoleh secara menyeluruh.
Menurut beliau, sebagai badan penguatkuasaan yang diberi mandat oleh undang-undang, SPRM mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu yang difikirkan perlu bagi membantu proses siasatan.
"Proses memanggil individu untuk memberi keterangan, mengesan individu yang gagal tampil membantu siasatan, serta tindakan lanjut oleh agensi penguatkuasaan adalah prosedur biasa dalam mana-mana penyiasatan jenayah.
"Oleh itu, tindakan melabelkan usaha tersebut sebagai 'intimidasi politik' tanpa bukti yang jelas bukan sahaja tidak adil kepada SPRM, malah boleh menghakis keyakinan awam terhadap institusi yang memainkan peranan penting dalam memerangi rasuah di negara ini," katanya dalam kenyataan media pada 6 Mac 2026.
Jais berkata, MCW ingin menegaskan bahawa perjuangan menentang rasuah memerlukan pendekatan yang seimbang, adil dan berasaskan fakta.
Menurut beliau, kritikan terhadap mana-mana institusi penguatkuasaan adalah wajar dalam sebuah negara demokrasi, namun ia harus dibuat secara bertanggungjawab, berasaskan bukti dan bukan sekadar persepsi atau spekulasi politik.
Jais berkata, pada masa yang sama, MCW juga berpandangan bahawa segala dakwaan termasuk yang dibangkitkan oleh pihak media antarabangsa seperti Bloomberg perlu disiasat secara telus dan profesional.
"Prinsip keadilan menuntut agar semua pihak sama ada individu yang membuat dakwaan mahupun pihak yang didakwa diberikan ruang untuk melalui proses undang-undang yang adil," katanya.
Jais berkata, MCW turut mengingatkan bahawa menuduh secara melulu bahawa sesuatu institusi penguatkuasaan telah 'dipersenjatakan' untuk tujuan politik tanpa bukti yang kukuh boleh memberi kesan buruk kepada usaha nasional memerangi rasuah serta melemahkan institusi yang sepatutnya diperkukuh.
Beliau berkata, perjuangan antirasuah bukan milik mana-mana parti politik atau NGO tertentu, ia adalah tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
"Oleh itu, semua pihak termasuk organisasi masyarakat sivil perlu memastikan kenyataan yang dikeluarkan tidak menjadi alat kepada mana-mana agenda sempit yang akhirnya hanya merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara," katanya.
Jais berkata, MCW menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses siasatan berjalan dengan telus dan profesional tanpa tekanan politik atau manipulasi persepsi.
"Keadilan tidak boleh ditegakkan melalui persepsi, tetapi melalui fakta dan proses undang-undang yang adil," katanya.

0 Ulasan