Pemuda UMNO tuntut keadilan untuk mangsa pemandu mabuk

 

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh mencadangkan agar pendakwaan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut dibuat di bawah Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, pesalah mesti dikenakan hukuman lebih berat termasuk penjara seumur hidup atau hukuman yang setimpal dengan kesalahan tersebut seperti hukuman mati.

Menurut beliau, sejak awal, Pemuda UMNO telah mendesak agar hukuman terhadap pemandu mabuk diperketatkan. 

"Walaupun undang-undang sedia ada di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000, realitinya ia masih belum cukup kuat untuk mengekang jenayah ini.

"Justeru, sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah lebih berani dan tegas. Nyawa manusia tidak boleh terus dipertaruhkan dengan hukuman yang tidak memberi kesan pencegahan yang nyata," katanya dalam hantaran Facebook pada 30 Mac 2026.

Dr. Akmal mengulas mengenai kemalangan maut yang meragut nywa Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang berpunca daripada kebebalan pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah pada 29 Mac 2026.

Beliau turut mencadangkang supaya pesalah diwajibkan membayar pampasan mandatori yang signifikan kepada keluarga mangsa

"Sekiranya pelaku tidak berkemampuan, mekanisme tanggungan alternatif termasuk penglibatan keluarga pelaku perlu dipertimbangkan secara adil dan berperundangan," katanya.

Dr. Akmal menambah, skim khairat kematian berpusat seharusnya diwajibkan kepada semua pemegang lesen memandu, bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada keluarga mangsa tanpa birokrasi yang melambatkan.

Beliau berkata, isu tersebut tidak boleh lagi dilihat sebagai kesalahan biasa. 

"Jika kesalahan berkaitan dadah dikenakan hukuman berat kerana merosakkan masyarakat, maka perbuatan memandu dalam keadaan mabuk sehingga meragut nyawa juga wajar dipandang dengan keseriusan yang sama - malah lebih, kerana ia melibatkan kehilangan nyawa secara langsung.

"Saya ingin menggesa Menteri Pengangkutan serta semua Ahli Parlimen, tanpa mengira blok politik, untuk segera membawa usul dan mengambil tindakan legislatif yang tuntas dalam perkara ini. Tolong jangan tunggu lagi! 

"Berapa banyak lagi nyawa tidak bersalah perlu terkorban sebelum kita benar-benar bertindak?

"Nilai sebuah nyawa itu tidak ternilai. Jangan sampai kita hanya tersedar apabila ia melibatkan orang yang kita sayangi. Tepuk dada, tanyalah diri," katanya.

Dr. Akmal turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz.

Katanya, pemergian beliau bukan sekadar satu kehilangan kepada keluarga, tetapi satu lagi peringatan pedih kepada kita semua tentang ancaman nyata pemandu mabuk di jalan raya.

"Hakikatnya, ini bukan insiden terpencil. Terlalu kerap kita mendengar nyawa insan tidak bersalah diragut oleh kecuaian pihak yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk. 

"Lebih membimbangkan, kejadian sebegini seolah-olah tidak lagi memberi kesan kepada golongan terbabit, malah dilihat semakin berleluasa," jelasnya.

BACA LAGI








Catat Ulasan

0 Ulasan