Malaysia aman tanpa DAP

 

Berikut adalah kenyataan media Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar pada 20 Jun 2026:

Perasan atau tidak, setiap kali sokongan politik DAP mula goyah, akan muncul kenyataan provokatif yang menyentuh isu agama Islam.

Daripada polemik pendaftaran saudara baharu di UPSI sehinggalah bantahan terhadap cadangan pembinaan Masjid Warisan berhadapan Tun Razak Exchange, coraknya hampir sama. Cetuskan kontroversi, bangkitkan kemarahan umat Islam, kemudian kukuhkan sokongan pengundi teras sendiri.

Sebahagian pemimpin DAP dilihat terus memainkan isu sensitif berkaitan Islam dan institusi negara demi memastikan sokongan penyokong tegar mereka tidak berubah.

Mereka mungkin menganggap kemarahan orang Melayu Islam sebagai harga yang sanggup dibayar asalkan kubu politik mereka kekal utuh.

Hakikatnya, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan telah termaktub dengan jelas dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Institusi Raja-Raja Melayu pula mempunyai peranan penting dalam memelihara kesucian agama Islam sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Isu berkaitan agama dan perkara asas yang telah dipersetujui sejak pembentukan negara tidak sepatutnya dijadikan modal politik sempit.

Dalam suasana ini, parti-parti politik utama orang Melayu yang menjadi tunjang kepada kestabilan politik negara perlu mengetepikan perbezaan yang kecil dan mengutamakan agenda penyatuan ummah serta kepentingan negara.

Sejarah membuktikan bahawa apabila kaum majoriti berpecah, kestabilan politik akan tergugat, ekonomi menjadi tidak menentu dan keharmonian masyarakat majmuk turut terkesan.

Sebaliknya, apabila parti-parti politik utama Melayu bersatu atas dasar prinsip, Perlembagaan dan kepentingan rakyat, negara akan menjadi lebih stabil, pelabur lebih yakin dan kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Penyatuan kuasa politik Melayu bukan untuk menafikan hak mana-mana pihak, tetapi untuk memastikan asas Perlembagaan negara terus dipertahankan serta kestabilan negara terus diperkukuhkan.

Cukuplah dengan politik kebiadaban.

Malaysia aman tanpa DAP.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan